KUALA LUMPUR 30 Mei – Sebanyak enam kereta rosak selepas dinding pemisah blok di tempat letak kenderaan runtuh dalam kejadian di Pangsapuri Permai, Jalan Tropicana Selatan, PJU 3, Petaling Jaya, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira pukul 4.56 petang hasil maklumat awam.
Ujarnya, enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 7 dikerahkan ke lokasi.
“Susulan daripada runtuhan itu menyebabkan keretakan di tempat letak kenderaan dan beberapa laluan di sekitarnya,” katanya, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










