MADRID: Sebuah kapal tangki minyak yang membawa sehingga 7,000 tan diesel terbalik di perairan berhampiran Ibiza, Sepanyol, mengakibatkan seorang kru maut, menurut pihak berkuasa.
Kapal Med Emre yang berdaftar di Malta itu membawa 17 kru dan kesemua mereka berjaya diselamatkan.
Bagaimanapun, tujuh kru dibawa ke hospital dan seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia, menurut perkhidmatan kecemasan Kepulauan Balearic.
Media Sepanyol melaporkan, enam kru yang menerima rawatan mengalami kecederaan ringan, termasuk hipotermia.
Kesan pencemaran alam sekitar akibat insiden itu sedang dinilai menggunakan pesawat dan kapal kawalan pencemaran Sepanyol, Clara Campoamor milik perkhidmatan penyelamat maritim negara itu.
“Maklumat mengenai kemungkinan tumpahan bahan api masih terhad,” kata Presiden Kepulauan Balearic, Marga Prohens menerusi platform X.
Kapten maritim Valencia, Elena Delgado, memberitahu AFP, tompokan kecil minyak yang terbentuk di sekitar kapal itu telah hilang dan kapal berkenaan diikat menggunakan kabel pada sebuah kapal milik perkhidmatan penyelamat maritim Sepanyol.
“Keadaan kini stabil,” katanya sambil menambah pemeriksaan lanjut akan dilakukan pada pagi Jumaat.
Perdana Menteri, Pedro Sanchez berkata, kerajaan sedang memantau rapat situasi berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap badan kapal dan bahagian yang tenggelam akan dilakukan pakar sebelum keputusan dibuat berhubung operasi menyelamat yang dirancang untuk menarik kapal itu ke lokasi lain.
Sebarang pencemaran yang memasuki perairan berpotensi menjejaskan sektor pelancongan, perikanan serta rumpai laut di Mediterranean yang menyerap sejumlah besar karbon dioksida penyumbang pemanasan iklim.
Kawasan itu turut merangkumi zon perlindungan di bawah rangkaian Natura 2000 Kesatuan Eropah (EU) dan menjadi habitat burung Balearic Shearwater yang kini berada pada tahap kritikal untuk pupus, menurut SEOBirdLife.
“Sentuhan dengan bahan api boleh menjejaskan sifat kalis air dan penebat haba bulu burung, menyebabkan kehilangan haba badan serta hipotermia,” menurut pertubuhan bukan kerajaan itu.











