RIYADH: Agensi Pertahanan Awam Arab Saudi berkata pada Khamis bahawa sebuah tadika dan kompleks perubatan di Riyadh rosak akibat serpihan peluru berpandu yang berjaya dipintas, beberapa jam selepas beberapa letupan menggegarkan ibu negara Arab Saudi itu.
Dua saksi berkata, sebuah pesawat milik syarikat penerbangan kebangsaan Arab Saudi, Saudia, di lapangan terbang Riyadh mengalami keretakan dan lubang pada badan pesawat.
Sumber yang mendapat maklumat mengenai perkara itu berkata, tiga pesawat mengalami kerosakan.
“Serpihan peluru berpandu jatuh di Riyadh selepas sebuah peluru berpandu balistik dipintas, menyebabkan kerosakan material kepada sebuah tadika dan kompleks klinik perubatan,” menurut kenyataan agensi itu yang disiarkan di X, tanpa menyatakan sama ada terdapat mangsa cedera atau terbunuh.
Houthi berulang kali menyasarkan Riyadh, yang mengetuai pakatan prokerajaan dalam memerangi kumpulan yang disokong Iran itu dalam perang saudara di Yemen, sambil berikrar untuk menyerang infrastruktur kritikal dan mengganggu ruang udara Arab Saudi ketika konflik mereka semakin memuncak.
Pengakuan pihak berkuasa Arab Saudi mengenai serangan yang mengenai struktur awam agak jarang berlaku, dengan pegawai hanya mengeluarkan beberapa kenyataan dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengenai kesan serangan Houthi.
Skala dan kekerapan serangan yang menyasarkan ibu negara itu belum pernah berlaku sepanjang lapan bulan konflik yang telah merebak ke seluruh Asia Barat.
Serangan itu berlaku ketika Arab Saudi semakin terheret ke dalam konflik di Yemen yang kembali tercetus pada Julai, dengan kedua-dua kerajaan Arab Saudi dan Houthi menunjukkan kesediaan untuk meneruskan pertempuran berbanding mencari penyelesaian diplomatik. – AFP











