Parlimen Romania tolak calon PM pro-Eropah - Utusan Malaysia

Parlimen Romania tolak calon PM pro-Eropah

SIEGFRIED MURESAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUCHAREST: Parlimen Romania menolak pencalonan tokoh liberal pro-Eropah, Siegfried Muresan sebagai Perdana Menteri, sekali gus memanjangkan krisis politik yang didakwa menyemarakkan kebangkitan golongan haluan kanan ekstrem.

Muresan yang juga Ahli Parlimen Eropah hanya memperoleh 182 undi daripada 233 undi yang diperlukan untuk membentuk kerajaannya.

Kegagalan itu meningkatkan kemungkinan Romania mengadakan pilihan raya mengejut bagi menyelesaikan kebuntuan politik yang berlarutan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Presiden pro-Eropah, Nicusor Dan, memberi amaran pilihan raya baharu tidak semestinya dapat menyelesaikan krisis yang dihadapi negara Eropah Timur itu.

Dan berkata, beliau akan mencalonkan perdana men­teri baharu pada petang Isnin selepas mengadakan rundingan dengan pemimpin parti-parti yang mempunyai wakil di Parlimen.

“Saya meminta parti-parti kali ini tampil dengan penyelesaian yang boleh berjaya. Setiap parti mesti membuat konsesi supaya persetujuan dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan kepada media selepas pe­ngundian.

Kerajaan gabungan pro-Eropah itu runtuh pada Mei selepas Parti Demokratik Sosial (PSD) yang meme­rintah bersama golongan berhaluan kanan pembangkang menying­kirkan Perdana Men­teri liberal, Ilie Bolojan.

Sejak itu, Dan mencalonkan tiga individu bagi jawatan perdana menteri. Namun, kesemuanya gagal membentuk kerajaan.

Muresan, 45, sebelum ini berjanji membentuk kabinet pro-EU dengan agenda reformasi yang bercita-cita tinggi.

Ketika sidang Parlimen bermula pada Rabu, Muresan berkata, rakyat Romania perlu memilih antara membawa negara itu ke hadapan atau mengekalkan keadaan sedia ada, termasuk dalam soal reformasi. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN