WAINWRIGHT: Empat anggota tentera maut manakala puluhan lagi cedera dalam kebakaran di sebuah pangkalan tentera di wilayah Alberta, antara tragedi paling buruk menimpa angkatan tentera Kanada ketika negara itu berada dalam keadaan aman, kata Perdana Menteri, Mark Carney.
Carney mengumumkan perkara itu di ibu negara, Ottawa tanpa memberikan butiran mengenai punca kebakaran di Pangkalan Angkatan Tentera Kanada Wainwright pada Sabtu.
“Dengan penuh kesedihan, saya mengesahkan setakat ini empat anggota tentera terkorban dan keluarga mereka sudah dimaklumkan.
“Ini antara tragedi paling buruk yang pernah dialami Angkatan Tentera Kanada di bumi Kanada ketika negara berada dalam keadaan aman.
“Pasukan tentera dan awam bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sepanjang malam dalam keadaan yang amat mencabar, dengan mempertaruhkan nyawa demi melindungi rakyat Kanada yang lain,” kata Carney.
Dalam pada itu, pihak berkuasa memaklumkan kepada pemberita pada sidang media Ahad 39 orang cedera dengan 19 mangsa mengalami kecederaan kritikal, lapan berada dalam keadaan stabil manakala 12 lagi boleh bergerak sendiri selepas menerima rawatan.
Menurut Jabatan Pertahanan Negara, kebakaran tercetus kira-kira pukul 4 petang (waktu tempatan) pada Sabtu di kawasan latihan pangkalan itu.
Komander Divisyen Pertama Kanada, Mejar Jeneral Wade Rutland berkata, ketika menjalani latihan luar di kawasan padang rumput Alberta, anggota tentera terkejut apabila api merebak ke arah mereka.
“Dalam tempoh 30 saat hingga seminit, mereka tidak melihat api, kemudian tiba-tiba api sudah berada di sekeliling mereka,” katanya.
Rutland berkata, kebakaran bermula di kawasan latihan dan merebak merentasi zon pemisah kebakaran yang telah ditetapkan sebelum berjaya dikawal dengan bantuan pihak berkuasa perbandaran.
Beliau menjangkakan siasatan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan sebelum punca kebakaran dapat dikenal pasti.
Beliau turut menjawab dakwaan yang tersebar dalam talian saluran paip hidrokarbon mungkin terkena peluru atau bahan letupan semasa latihan.
“Anda mungkin mendengar laporan mengenai letupan. Namun, kami tidak percaya kejadian ini berpunca daripada sebarang infrastruktur minyak dan gas atau campur tangan pihak luar.
“Pemeriksaan awal tidak menunjukkan kerosakan pada infrastruktur gas dan minyak, tetapi pemeriksaan lanjut tetap akan dilakukan,” katanya.
Daerah Perbandaran Wainwright menerusi media sosial memaklumkan kebakaran itu merebak dengan pantas akibat angin kencang.
Pangkalan Wainwright merupakan antara pangkalan terbesar yang dikendalikan Angkatan Tentera Kanada dan kerap menjadi lokasi latihan ketenteraan yang melibatkan anggota tentera negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Kebakaran itu turut menjejaskan pengundian awal menjelang undian pada Isnin mengenai sama ada proses ke arah referendum pada masa depan bagi menentukan kemerdekaan Alberta daripada Kanada perlu dimulakan.
Pejabat pilihan raya Alberta memaklumkan pusat pengundian awal di Wainwright ditutup akibat kejadian itu.-AFP











