Kanada berani lawan Trump, tarik diri rundingan perdagangan - Utusan Malaysia

Kanada berani lawan Trump, tarik diri rundingan perdagangan

PERDANA Menteri Kanada, Mark Carney (kiri) bersama Presiden AS, Donald Trump.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OTTAWA: Perdana Menteri Kana­da, Mark Carney mengambil langkah berani dengan menarik diri daripada rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), sekali gus mene­gaskan kedaulatan negaranya bukan sesuatu yang boleh di­kompromi.

Keputusan itu dibuat selepas Carney menolak terma yang di­cadangkan Washington seba­gai ‘perjanjian yang buruk’, ter­ma­suk syarat didakwa boleh menjejaskan penggunaan bahasa Perancis di Kanada dan keupa­yaannya memeterai perjanjian perdagangan dengan negara lain.

“Apabila anda diserang, anda sedang berperang dan kami telah diserang,” kata Carney dan memberi amaran Kanada akan bertindak balas terhadap AS dengan prinsip ‘dolar demi dolar’.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tindakan itu bagaimanapun dijangka memberi kesan ekonomi kepada Kanada, termasuk tarif tinggi ke atas barangan ber­nilai AS$20 bilion (RM80 bilion) serta risiko terhadap kira-kira 87,000 pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.

Presiden AS, Donald Trump, turut mengumumkan pusingan tarif baharu terhadap Kanada, sekali gus meningkatkan risiko perang perdagangan antara ke­dua-dua negara jiran itu.

Keberanian Carney berdepan Trump kini menjadi perhatian Kesatuan Eropah (EU), yang turut berdepan tekanan Washington supaya melonggarkan peraturan berkaitan alam sekitar, kelestarian dan sektor digital.

Persoalan utama bagi Brussels ialah sama ada EU juga berani mengambil tindakan serupa sekiranya Trump terus mening­katkan tekanan perdagangan dan mencabar hak blok itu untuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undangnya sendiri.

EU sebenarnya mempunyai kelebihan berbanding Kanada kerana ekonominya jauh lebih besar dan hubungan perdaga­ngannya yang pelbagai. Kira-kira 75 peratus eksport barangan Kanada dihantar ke AS, manakala bagi EU, bahagiannya hanya sekitar 21 peratus.

Perdagangan barangan dan perkhidmatan EU-AS tahun lalu turut mencecah 1.77 trilion euro (RM8.3 trilion), lebih dua kali ganda berbanding perdagangan Kanada-AS yang berjumlah kira-kira 748 bilion euro (RM3.5 tri­lion).

EU juga mempunyai instrumen untuk bertindak balas sekiranya Washington mengenakan tekanan ekonomi, termasuk Instrumen Antipaksaan (ACI) yang membolehkan EU mengambil tindakan lebih luas daripada sekadar mengenakan tarif.

Namun, perbezaan pendirian antara negara anggota menjadi cabaran utama. Perancis, Sepanyol dan negara-negara Nordik menggesa Brussels supaya bertegas dan mengambil tindakan balas, manakala Jerman, Itali serta Ireland lebih cenderung kepada kompromi bagi mengelakkan konfrontasi ekonomi besar-besaran dengan AS.

Keadaan itu menunjukkan EU masih belum mempunyai strategi bersama untuk berdepan Trump, berbeza dengan Kanada yang berjaya menghimpunkan sokongan wilayahnya selepas rundingan dengan AS gagal.

Satu tinjauan pula mendapati 76 peratus rakyat Kanada menganggap Carney membuat keputusan yang tepat. Namun, bagi EU, keberanian untuk berdepan Trump bukan hanya soal perdagangan kerana sebarang keretakan hubungan dengan Washington turut boleh memberi kesan kepada sokongan AS terhadap Ukraine.

Brussels sebelum ini mengaku perjanjian perdagangan EU-AS sebahagiannya bertujuan memastikan Trump terus terlibat dalam usaha menamatkan perang Russia-Ukraine. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN