TANJUNG MALIM: Perak mengaktifkan Pusat Kawalan Bencana Negeri ((SDCC) bermula semalam berikutan cuaca yang tidak menentu dan risiko bencana musim tengkujuh.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pusat kawalan tersebut berperanan memantau perkembangan bencana dan menyelaras tindakan agensi berkaitan.
“Operasi 24 jam akan dilaksanakan sekiranya bencana melibatkan lebih daripada tiga daerah.
“Mengambil kira keadaan cuaca tidak menentu dan risiko bencana menjelang musim tengkujuh, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah memperkukuhkan kesiapsiagaan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan 2026 Kerajaan Negeri Perak di Dewan Seri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari ini.
Pada program tersebut, sebanyak 102 aduan rakyat telah diterima yang melibatkan 80 kaunter khidmat pelanggan.
Saarani berkata, penyelarasan risiko bencana melibatkan kekuatan 6,283 anggota pelbagai agensi serta aset penyelamat termasuk 204 bot dan 439 kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan bantuan dapat digerakkan segera apabila diperlukan.
Jelasnya, bagi kawasan yang terjejas dengan bencana banjir di negeri ini, pegawai-pegawai pejabat daerah serta pegawai khas MB berada di lapangan bagi memantau dan membantu menyelaraskan keperluan penduduk.
Dalam pada itu, Saarani turut menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) kepada 24 penerima yang layak.
Bantuan itu merangkumi bantuan komputer riba kepada 20 pelajar Politeknik Sultan Azlan Shah ( PSAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta bantuan perubatan dan modal perniagaan kepada kepada empat penerima lain. – UTUSAN











