Wujudkan platform data bersepadu perkukuh keselamatan jalan raya

Wujudkan platform data bersepadu perkukuh keselamatan jalan raya

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercakap ketika Majlis Perasmian Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua agensi berkaitan diminta bekerjasama mewujudkan platform risikan keselamatan jalan raya nasional bersepadu bagi menghubungkan sistem sedia ada dan membolehkan tindakan terselaras melalui perkongsian data.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia mempunyai data keselamatan jalan raya di pelbagai agensi, namun maklumat yang disimpan secara berasingan menyebabkan peluang melihat gambaran menyeluruh dan bertindak lebih awal terlepas.

Katanya, perkongsian maklumat yang terhad, pertindihan tanggungjawab dan halangan antara institusi menjejaskan kelancaran penyelarasan antara agensi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam soal keselamatan jalan raya, tiada agensi sepatutnya menganggap dirinya mengatasi agensi lain dan tiada institusi boleh bekerja secara silo.

“Kementerian Pengangkutan (MOT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR), Prasarana dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai peranan masing-masing dan perlu bergerak sebagai satu pasukan.

“Data perlu membantu mengenal pasti laluan berbahaya sebelum lebih banyak nyawa terkorban, manakala penyelidikan perlu menjadi asas kepada reka bentuk jalan raya yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Ahmad Zahid berkata, penguatkuasaan berasaskan teknologi pula perlu menangani tingkah laku berisiko tinggi, manakala inovasi perlu menjadikan kenderaan dan infrastruktur lebih berupaya mengurangkan kesan kesilapan manusia.

Beliau berkata, sistem pengangkutan juga perlu mengambil kira hakikat bahawa manusia melakukan kesilapan dan direka supaya kesilapan itu tidak membawa maut.

“Pendekatan sistem selamat merangkumi jalan raya, kelajuan, kenderaan dan pengguna yang lebih selamat serta penjagaan lebih baik apabila kemalangan berlaku.

“Semua ini bukan tanggungjawab yang berasingan. Ia merupakan komponen yang saling berkaitan dalam satu sistem negara,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia menyasarkan pengurangan kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang akhir 2030 menerusi Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.

Namun katanya, usaha mencapai sasaran itu memerlukan penyelarasan dan langkah intervensi bagi menghasilkan perubahan sebenar.

“Ini merupakan komitmen yang penting. Namun, sasaran semata-mata tidak akan menyelamatkan nyawa. Apabila nyawa menjadi taruhan, niat baik sahaja tidak mencukupi,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini