Kawalan Iran terhadap Selat Hormuz semakin lemah? - Utusan Malaysia

Kawalan Iran terhadap Selat Hormuz semakin lemah?

KAPAL-kapal dilihat berlabuh di Selat Hormuz, berhampiran pesisir bandar pelabuhan Bandar Abbas di selatan Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Ketika Iran dan Amerika Syarikat (AS) bekerjasama dengan pengantara untuk menamatkan konflik yang sudah berlarutan selama tujuh bulan, negara mana  bakal mengawalnya kini menjadi faktor penting.

Menurut data terkini daripada laman penjejakan kapal tangki, trafik melalui laluan air penting itu terus meningkat, dengan sesetengah anggaran menunjukkan aliran minyak dan produk petroleum melalui Selat Hormuz kini hampir 80 peratus daripada paras sebelum perang AS-Israel terhadap Iran bermula pada 28 Februari.

Keadaan itu boleh menjejaskan pengaruh Iran dalam usaha mendapatkan perjanjian untuk memihak kepada mereka bagi menamatkan pertempuran dan sekatan laut yang sudah cukup menjejaskan ekonomi negara itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, pakar berpendapat adalah terlalu awal untuk menganggap keadaan normal di Selat Hormuz bakal kembali, atau Iran akan mudah mengalah walaupun berdepan kesukaran ekonomi yang semakin meningkat.

“Fakta bahawa minyak kini boleh melalui Selat Hormuz sememangnya sesuatu yang menggalakkan, tetapi aliran itu masih belum dianggap benar-benar selamat atau terjamin, khususnya selagi konflik lebih luas masih belum diselesaikan,” kata Ketua Strategi Pelaburan Wealth Club, Susannah Streeter kepada Al Jazeera.

Selain itu, harga minyak kekal tinggi di pasaran global, termasuk di AS ketika Presiden, Donald Trump berdepan pilihan raya pertengahan penggal pada bulan depan. Pilihan raya itu penting  kerana ia  menyaksikan parti Republikan yang dianggotai Trump boleh kehilangan kawalan di kedua-dua dewan Kongres.

Kos insurans kapal tangki juga kekal tinggi, manakala alir­an tenaga melalui Selat Hormuz masih jauh daripada selamat sepenuhnya, menunjukkan pe­ngaruh Iran mungkin sema­kin lemah tetapi belum hilang taringnya.

Data terkini daripada firma analisis komoditi Kpler menunjukkan pemulihan ketara dalam eksport minyak dari Asia Barat.

Eksport minyak mentah dianggarkan mencecah 16.328 juta tong sehari pada September, paras tertinggi sejak perang bermula pada akhir Februari, menurut laporan firma itu minggu ini.

Aliran melalui Selat Hormuz sendiri dijangka mencapai kira-kira 9.719 juta tong sehari sepanjang bulan berkenaan.

Arab Saudi menjadi pemacu utama peningkatan itu, dengan eksportnya meningkat daripada 2.446 juta tong sehari pada Ogos kepada kira-kira 5.4 juta tong sehari pada September.

Kpler berkata, eksport minyak mentah Asia Barat semakin pulih mencecah 80 peratus paras sebelum perang.

Bagaimanapun, jumlah itu adalah 3.2 juta tong sehari lebih rendah berbanding 19.513 juta tong sehari yang dieksport pada Februari. Data berkenaan juga tidak mengambil kira kapal yang melalui Selat Hormuz dengan sistem penjejakan dimatikan, bermakna jumlah trafik sebenar mungkin lebih tinggi.

Sebelum perang, dianggarkan sebanyak 120 hingga 140 kapal melalui laluan laut  itu setiap hari. Kira-kira separuh daripadanya kapal tangki minyak yang membawa sekitar 20 juta tong sehari.

Ketika pertempuran memuncak, trafik melalui laluan itu merosot sehingga hanya dua kapal tangki sehari selepas Iran secara berkesan menutup selat berkenaan sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel.

Iran sebelum ini berusaha menggunakan keupayaannya untuk mengganggu Selat Hormuz, salah satu laluan penting bekalan tenaga dunia, sebagai pengaruh untuk menghadapi tekanan ketenteraan dan ekonomi AS.

Namun, jika sejumlah besar minyak terus bergerak melalui selat itu ketika Iran sendiri masih berdepan sekatan laut AS, kuasa tawar-menawar Teheran bakal berkurangan.

Bagaimanapun, Iran menolak sebarang penilaian kawalannya ke atas selat itu semakin terhakis.

Jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Hossein Mohebbi berkata, konflik ketenteraan masih berlaku di Selat Hormuz.

“Kami sudah lama menye­rang kapal-kapal kecil dan menghalang mereka daripada melalui selat, tetapi AS tidak bertindak balas,” kata Mohebbi dalam temu bual dengan agensi berita separa rasmi Fars.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×