TEHERAN: Sebuah kapal tangki diserang pada Khamis ketika belayar melalui Selat Hormuz, kata sebuah agensi maritim Britain.
Kapal itu terkena objek tidak dikenali di laluan perairan strategik berkenaan menyebabkan kebakaran, kata Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO).
Kesemua anak kapal dilaporkan selamat, tetapi tahap kerosakan masih belum diketahui, tambah UKMTO.
Agensi itu tidak menyatakan bendera negara mana yang dikibarkan kapal tangki berkenaan atau laluan yang dirancangnya.
Ia juga tidak menjelaskan sama ada kapal itu membawa minyak mentah atau gas asli cecair (LNG).
Selat Hormuz, yang sebelum Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada akhir Februari menjadi laluan bagi satu perlima bekalan minyak dan LNG dunia, masih menjadi tumpuan konflik berkenaan.
Teheran menyekat laluan kapal komersial. Ia turut melepaskan tembakan ke arah kapal yang didakwanya melintasi kawasan itu tanpa kebenaran.
Washington bertindak balas dengan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran dalam usaha menghalang Teheran daripada mengeksport minyaknya.
AS tidak melancarkan serangan terhadap sasaran di Iran sejak 1 September, walaupun kapal masih kerap menjadi sasaran di selat berkenaan. – AFP











