JAKARTA: Seramai 498 penduduk terjejas manakala 120 rumah ditenggelami banjir susulan hujan lebat yang melanda Kota Padang, Sumatera Barat, Indonesia semalam.
Menurut Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Kota Padang, banjir yang berlaku di daerah Kuranji, Koto Tangah dan Nanggalo itu melibatkan beberapa kawasan penempatan, termasuk Kuranii, Lubuk Minturun, Koto Panjang Ikua Koto, Batipuh Panjang, Tabing Banda Gadang dan Gurun Laweh.
Berdasarkan data setakat 10.45 malam Sabtu, seramai 238 penduduk di beberapa lokasi berjaya dipindahkan oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Banjir turut menyebabkan laluan jalan raya di kawasan Guo, Kuranji, terputus.
Ketua Pelaksana BPBD Kota Padang, Hendri Zulviton berkata, pihaknya menyalurkan 9,000 liter air bersih kepada penduduk terjejas di dua lokasi di Kecamatan Koto Tangah, iaitu Masjid Raya Ikur Koto dan kawasan Pasia Nan Tigo.
Air bersih itu dihantar menggunakan lori tangki milik BPBD bagi memenuhi keperluan penduduk yang terjejas akibat bencana berkenaan.
Hendri berkata, banjir berpunca daripada hujan lebat selain keadaan sungai yang masih cetek akibat pemendapan susulan banjir besar tahun lalu.
Beliau mengakui beberapa sungai masih belum pulih sepenuhnya meskipun kerja-kerja pembaikan dan pemulihan sudah dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan bencana susulan, termasuk banjir lumpur tanah runtuh dan pokok tumbang.
Penduduk yang tinggal berhampiran sungai, kawasan berisiko banjir serta cerun yang tidak stabil turut dinasihatkan memantau keadaan persekitaran dan segera menjauhi kawasan berbahaya sekiranya paras air meningkat.-AGENSI











