NEW YORK: Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) dijangka mengemukakan pertuduhan baharu terhadap bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores berhubung dakwaan penyeksaan terhadap rakyat AS yang ditahan dalam tahanan kerajaan Venezuela, lapor CNN.
Maduro dan Flores sebelum ini sudah berdepan pertuduhan pengedaran dadah dan senjata api di AS selepas kedua-duanya ditahan dalam serbuan ketenteraan AS yang luar biasa di kediaman mereka di Caracas pada Januari lalu.
Menurut CNN yang memetik individu yang mengetahui siasatan berkenaan, pertuduhan penyeksaan baharu itu berkaitan dakwaan penahanan secara salah terhadap lebih 12 warga AS di Venezuela ketika pemerintahan Maduro.
Laporan itu turut menyebut pendakwa raya sedang mempertimbangkan untuk mendakwa beberapa individu lain yang didakwa terbabit dalam penyeksaan terhadap rakyat AS.
CNN melaporkan pertuduhan berkenaan boleh diumumkan seawal Khamis. Pendakwa raya bagaimanapun tidak memberikan ulasan segera ketika dihubungi AFP.
Maduro dan Flores dijadual dibicarakan di New York pada Jun tahun depan dan kini ditahan di sebuah penjara di Brooklyn.
Pendakwa raya AS mendakwa Maduro menggunakan kuasa negara untuk melindungi serta menggalakkan penyeludupan dadah secara haram, selain bersekutu dengan kartel bagi menghantar sejumlah besar kokain ke AS.
Maduro menafikan kesemua empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya iaitu konspirasi melakukan ‘narco-terorisme’, konspirasi mengimport kokain, memiliki mesingan dan alat pemusnah serta konspirasi memiliki mesingan dan alat pemusnah.
Flores turut mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya iaitu konspirasi mengimport kokain, memiliki mesingan dan alat pemusnah serta konspirasi memiliki mesingan dan alat pemusnah.
Beliau dijadual hadir di mahkamah esok bagi pendengaran berhubung permohonannya untuk dipindahkan ke tahanan di rumah susulan masalah jantung yang dialaminya.-AFP











