Perang Teluk dan ancaman imperialisme AS - Utusan Malaysia

Perang Teluk dan ancaman imperialisme AS

Namun senario paling buruk mungkin berlaku Trump-Netanyahu akan berterusan melancarkan serangan malah dengan skala lebih besar untuk melumpuhkan pentadbiran Tehran. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika di atas kertas, Iran dijangka terpaksa tunduk kepada kekuatan ketenteraan Israel dan Amerika Syarikat (AS) dalam siri serangan terbaharu mereka. Hasrat Kedua-dua kuasa pakatan ini, Israel dan AS adalah memastikan kerajaan Tehran dilemahkan sekali gus digantikan dengan rejim Pahlavi yang pernah memerintah Iran sehingga 1979. Ini adalah niat jahat Israel-AS untuk menjatuhkan kerajaan sesebuah negara berdaulat.

Serangan terhadap Iran menyebabkan sekutu AS di Eropah berpecah. Sepanyol lebih vokal dengan menolak kehadiran tentera AS untuk menjadikan lapangan tenteranya sebagai pangkalan serangan. Perancis juga menuntut peperangan dihentikan dan ruangan meja rundingan diberikan peluang. Namun, England dan Jerman adalah negara Eropah yang menyokong tindakan yang diambil.

Sekutu Eropah ini juga mempunyai dilema tersendiri. Menyokong serangan terang terangan terhadap Iran akan menyangkal prinsip mereka terhadap konflik Ukraine. Jika isu kedaulatan dan pencerobohan digunakan, maka negara Eropah tidak mempunyai ruang berbahas mengenai serangan ini kerana prinsipnya sama.

AS bukan kali pertama menceroboh sebuah negara berdaulat. Pentadbiran AS di bawah Presiden Trump telah melakukan beberapa pelanggaran undang-undang antarabangsa dengan menculik dan menggulingkan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, di atas pertuduhan membenarkan negaranya menjadi sumber narko-terorisme dan penyeludupan senjata api yang menjejaskan keselamatan AS. Presiden Trump juga diberitakan dalam perancangan untuk menumbangkan kerajaan Cuba di bawah kepimpinan Miguel Diaz-Canel. Cuba sehingga kini masih lagi menjadi mangsa sekatan ekonomi semenjak era Perang Dingin.

AS sering melabelkan dirinya penyelamat dunia. Tapi saya lebih cenderung melabelkan AS sebagai kuasa imperialisme masa kini. Negara ini enggan menerima mereka juga kuasa imperialisme sejak abad ke-20 lagi. Trump malah dengan angkuh mahu “terlibat sama” dalam pemilihan pemimpin “spiritual” terbaharu Iran. Pemimpin sebelum, Ali Khamenei Mojtaba telah terbunuh dalam serangan roket Israel.

Sejarah imperialisme AS sengaja dipadam tetapi kita tidak pernah lupa apabila AS mengambil alih Filipina daripada pentadbiran Sepanyol selepas Perang Dunia Kedua, mereka menyatakan tindakan itu adalah mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), walhal dasar yang dilancarkan sewaktu menjajah Filipina adalah sama seperti mana Sepanyol sebelum ini – pecah dan perintah.

Dunia juga masih tidak lupa kepada serangan yang dilakukan oleh AS terhadap Iraq pada 2003 untuk menjatuhkan rejim Saddam Hussein. Di Perang Iran-Iraq pada 1982-83 pula, AS menyebelahi rejim Saddam Hussein dengan membekalkan senjata. Tetapi dalam pada sama, menjual senjata kepada Tehran untuk membebaskan tebusan rakyat AS di Lebanon.

Hasil jualan digunakan untuk membantu gerakan bersenjata pembebasan di Nicaragua pada ketika itu. Dosa AS terus menyala dengan menculik dan menjatuhkan kerajaan Panama di bawah kepimpinan General Manuel Noriega pada ada 1990, atas alasan yang sama dikenakan terhadap Presiden Moduro, Venezuela.

Persoalannya adakah gandingan Pakatan AS-Israel ini mampu menjatuhkan Kerajaan Tehran? Pakatan ini menjangkakan dapat menewaskan Tehran hanya dalam ‘beberapa minggu’. Tetapi serangan balas dilakukan Tehran terhadap Israel dan kepentingan AS di negara Teluk menunjukkan perang ini akan berpanjangan daripada yang diharapkan. Trump malah diberitakan menawarkan ‘pengampunan’ kepada pegawai tertinggi Tentera Revolusioner Iran untuk berpaling tadah.

Adakah ini menunjukkan keputusan gila Trump untuk membantu Israel menyerang Iran tidak mencapai objektif diharapkan? Ada beberapa senario yang boleh terjadi selepas ini. Namun senario paling buruk Trump-Netanyahu akan terus melancarkan serangan malah dengan skala lebih besar untuk melumpuhkan pentadbiran Tehran.

Selain itu, serangan bertubi-tubi dengan menggunakan peluru berpandu jarak dekat dan sederhana akan diteruskan terhadap sasaran yang dikenal pasti seperti markas tentera atau tempat yang dipercayai pusat senjata nuklear Iran. Implikasi kepada serangan ini akan menyebabkan ribuan nyawa tidak berdosa akan terkorban.

Peningkatan serangan ini juga akan menyebabkan beberapa negara akan terus terseret sama ke kancah konflik yang dicipta. Penglibatan langsung China dan Rusia masih dipersoalkan walaupun kedua-dua belah pihak telah mengeluarkan pernyataan diplomatik keras membantah serangan terhadap Iran.

Pada saya, China dan Rusia tidak akan terlibat secara langsung dalam perang ini tetapi menjadikannya sebagai perang proksi terhadap AS. Dengan hubungan rapat sedia ada dengan Iran, kedua-dua kuasa besar ini akan terus membekalkan persenjataan untuk kegunaan serangan balas Iran. Tehran sangat memerlukan teknologi ‘jamming’ China untuk melumpuhkan sistem radar dan komunikasi pihak musuh.

Keterlibatan langsung negara teluk seperti Bahrain, Qatar, dan UAE mungkin tidak dapat dielakkan. Sehingga kini negara ini bertahan untuk bertindak balas terhadap serangan bersasar Iran terhadap wilayah mereka. Tetapi perang berpanjangan akan menjejaskan ekonomi negara ini.

Kerugian akibat penerbangan terhad dan pengelakan penumpang untuk menggunakan transit utama ini akan menyebabkan syarikat penerbangan Emirates, Qatar serta Etihad akan mengalami kerugian besar. Keadaan ini boleh menyebabkan negara teluk ini memberi tekanan politik kepada Washington untuk menghentikan serangan. Namun dalam keadaan lain, jika serangan menyebabkan kedaulatan tercabul, negara teluk ini berkemungkinan besar membantu Washington dari aspek kewangan seperti mereka lakukan sewaktu serangan terhadap Iraq sebelum ini.

Washington juga sedang menggunakan gerakan bersenjata Kurdish antara sempadan Iraq dan Iran untuk melancarkan serangan darat dari barat. Gerakan bersenjata ini diberitakan telah menerima bekalan senjata dari Washington beberapa bulan sebelum serangan dilakukan. Pendekatan ini digunakan kerana Washington menolak sebarang serangan darat terhadap Tehran kerana implikasi lebih besar, antaranya serangan balas lebih hebat oleh pasukan Revolusioner Iran.

Senario ini mungkin tidak berlaku tetapi kebarangkaliannya adalah besar kerana sikap Trump sendiri yang dilihat lebih cenderung untuk terus menyokong hasrat sekutunya Netanyahu, kepada siri serangan lebih besar. Di samping, Trump juga mencapai kejayaan politik di negaranya apabila Kongres AS gagal menyekat perang yang sedang berlaku.

Prof. Kamarulnizam Abdullah ialah Pengarah, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN