WASHINGTON: Pertikaian antara pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan pihak media semakin memuncak selepas wartawan CNN serta MS NOW dihalang daripada memasuki Rumah Putih bagi membuat liputan majlis makan malam walaupun selepas hakim persekutuan memerintahkan agar akses mereka dipulihkan serta-merta.
Sebelum itu, seorang hakim persekutuan menerusi keputusan memutuskan bahawa tindakan pentadbiran Trump melarang tiga agensi berita iaitu CNN, MS NOW dan Politico berkemungkinan besar tidak mengikut perlembagaan serta mengarahkan pihak berkuasa membenarkan semula kemasukan mereka buat masa ini.
Ketiga-tiga agensi media itu sebelum ini memfailkan saman bersama bagi memohon perintah sekatan sementara terhadap larangan itu atas alasan ia melanggar Pindaan Pertama Perlembagaan AS yang menjamin hak kebebasan media.
Meskipun kebenaran diberikan pada pagi Khamis, suasana kembali tegang pada sebelah malam apabila wartawan dan penerbit CNN serta MS NOW mendakwa dihalang daripada memasuki kawasan premis bagi merakam ketibaan tetamu sempena majlis makan bagi meraikan Presiden China, Xi Jinping.
Agensi media berkenaan menegaskan bahawa mereka telah mengemukakan senarai nama wartawan mengikut prosedur akreditasi rasmi yang ditetapkan.
CNN melaporkan bahawa kira-kira sejam sebelum ketibaan Jinping, pihak Rumah Putih memaklumkan bahawa agensi itu hanya dibenarkan menghantar seorang jurufoto dan juruteknik audio tanpa penyertaan wartawan atau penerbit.
Wartawan Rumah Putih MS NOW, Laura Barron-Lopez, mendakwa beliau dimaklumkan oleh kakitangan Rumah Putih bahawa beliau tidak dibenarkan masuk dan diarah menghubungi pengarah komunikasi Rumah Putih untuk penjelasan lanjut.
Sementara itu, akaun rasmi komunikasi Rumah Putih menerusi hantaran di platform X mempertahankan tindakan berkenaan.
“Berlawanan dengan apa yang mahu dipercayai oleh media berita palsu, mereka tidak mempunyai kebebasan mutlak untuk memasuki setiap bahagian Rumah Putih, setiap acara, mahupun setiap sesi panggilan media,” menurut hantaran berkenaan.
Insiden tersebut merupakan rentetan terbaharu daripada siri ketegangan pada Khamis ekoran tindakan Trump yang melarang agensi media berkenaan minggu lalu atas alasan menyebarkan berita palsu. – AGENSI











