TEL AVIV: Israel meningkatkan kesiapsiagaan pasukan lautnya susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemaraan kumpulan Houthi berhampiran Selat Bab al-Mandab.
Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, melaporkan pihak keselamatan Israel memantau rapat perkembangan selepas Houthi memperluaskan kehadiran mereka di sepanjang pantai Laut Merah serta mengukuhkan kedudukan di sekitar laluan perairan utama antarabangsa itu.
Menurut penilaian Israel, pengunduran pasukan kerajaan Yemen dari Perim, yang turut dikenali sebagai Pulau Mayyun, di pintu masuk selat berkenaan telah meningkatkan keupayaan Houthi untuk mempengaruhi pergerakan kapal di laluan tersebut.
Perkembangan tersebut menimbulkan kebimbangan di Israel terhadap kemungkinan ancaman ke atas kapal komersial yang melalui Selat Bab al-Mandab, khususnya kerana beberapa bahagian selat itu hanya selebar kira-kira 18 kilometer (km).
Penilaian itu menyatakan, Houthi berpotensi menggunakan peluru berpandu dan bot yang membawa bahan letupan untuk menyerang kapal yang melalui Bab al-Mandab.
Kebimbangan itu turut mendorong pihak keselamatan Israel mempersoalkan apa yang disifatkan sebagai ‘hakisan keupayaan pencegahan’ terhadap Houthi.
Pihak berkenaan juga mengkritik kegagalan aktor serantau menghalang kemaraan Houthi di sepanjang pantai Laut Merah Yemen.
Susulan kebimbangan itu, komander Tentera Laut Israel, Naib Laksamana Eyal Harel, mengarahkan peningkatan tahap kesiapsiagaan pasukan laut dan pusat kawalan serta perintah, selain mengerahkan pasukan tambahan ke laut, menurut laporan berkenaan.
Pegawai Israel turut bimbang pengukuhan kedudukan Houthi di sekitar Bab al-Mandab, ditambah pengaruh Iran di sekitar Selat Hormuz, boleh meningkatkan pengaruh Teheran terhadap laluan perairan utama di rantau berkenaan.
Menurut akhbar itu, kira-kira 98 peratus import Israel dibawa masuk melalui laut.
Yemen menikmati tempoh ketegangan yang lebih rendah sejak April 2022 selepas hampir 12 tahun konflik antara pasukan kerajaan yang disokong pakatan diketuai Arab Saudi dengan Houthi yang disokong Iran.
Houthi merampas ibu negara Sanaa dan sebahagian besar wilayah Yemen pada 2014.
Sejak perang Israel di Gaza tercetus pada penghujung 2023, Houthi semakin terlibat dalam konflik serantau dengan melancarkan serangan terhadap Israel dan kapal komersial di Laut Merah.
Pertempuran yang kembali tercetus baru-baru ini pula menimbulkan kebimbangan konflik berskala besar di Yemen akan kembali meletus. – AGENSI










