Remaja lelaki ditemukan berlutut di atas bot terbalik di laut sejuk - Utusan Malaysia

Remaja lelaki ditemukan berlutut di atas bot terbalik di laut sejuk

DEREK PARKER AGHNAANGA ditemukan berlutut di atas sebuah bot terbalik. - FOX35
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUNEAU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, Derek Parker Aghnaanga  diselamatkan selepas ditemukan  berlutut di atas sebuah bot yang terbalik di perai­ran sejuk di Laut Bering, Alaska, selama kira-kira dua hari.

Aghnaanga keluar meman­cing bersama abang dan sepupunya pada Jumaat lalu apabila bot mereka terbalik.

Dia akhirnya diselamatkan pada minggu lalu apabila sebuah bot nelayan menemukannya berhampiran Pulau St. Lawrence.

Bagaimanapun, mayat sepupu dan abangnya turut ditemukan dalam kejadian tersebut.

Kru-kru kapal bot nelayan berkenaan mencampakkan tali kepada budak itu dan menarik bot kecil tersebut lebih dekat sebelum Aghnaanga dapat dipindahkan ke dalam ‘bakul’ penye­lamat.

Menurut remaja itu kepada anggota penyelamat, sepupunya turut berpaut pada bot yang terbalik untuk beberapa ketika tetapi tidak berjaya bertahan sehingga bantuan tiba.

Kapten bot nelayan yang da­tang membantunya berkata, Agh­naanga berpaut pada bot kecil itu dalam keadaan gelap dan su­hu air laut sekitar 10 darjah Celsius.

“Budak ini memang sangat kental,” kata Adam White, kap­ten The Northwest Explorer kepada KTUU-TV di Anchorage.

“Dalam keadaan giginya meng­geletar menahan kesejukan, dia memberitahu bahawa abangnya masih berada di bawah bot kecil itu. 

“Kemudian dia berkata, sebelum kami menyelamatkannya, sepupunya telah terlepas daripada pegangannya,” kata White.

Pesawat dan helikopter Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) mula mencari bot kecil itu selepas anggota keluarga mangsa melaporkan ketiga-tiga mereka hilang di laut. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×