Sikap lelaki yang sukar mengakui kesalahan, gemar memotong percakapan dan menganggap teguran sebagai serangan peribadi boleh menimbulkan rasa jengkel, terutama apabila perangai itu berulang kali ditunjukkan dalam kehidupan seharian.
Bagi sesetengah wanita, punca masalah ini bukan hanya sekadar perangai yang kurang menyenangkan, tetapi sikap lelaki yang enggan memahami perasaan orang lain walaupun sudah ditegur berkali-kali.
Menurut Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad, perangai sedemikian boleh berkait dengan kematangan emosi, mekanisme pertahanan diri dan keupayaan seseorang mengawal tindak balas ketika berdepan situasi yang tidak menyenangkan.
Katanya, sesetengah lelaki menganggap teguran sebagai ancaman terhadap harga diri mereka.
Justeru, mereka lebih cenderung bertindak mempertahankan diri atau menunjukkan kemarahan, berbanding menilai kesilapan.
Katanya, didikan sejak kecil dan norma sosial turut mempengaruhi cara lelaki mengendalikan emosi, terutama apabila mereka dibesarkan dengan tanggapan perlu sentiasa kelihatan kuat dan tidak boleh menunjukkan kelemahan.
Keadaan itu boleh menyebabkan sebahagiannya sukar untuk mengakui kesalahan atau menyatakan perasaan dengan cara sihat kerana menganggap tindakan tersebut mencalarkan imej diri.
Dr. Fauziah berkata, ego dan tanggapan terhadap maskuliniti juga boleh menyukarkan sesetengah lelaki menerima teguran.
Katanya, bagi individu yang mempunyai pemikiran sedemikian, mengakui kesalahan mungkin dianggap sebagai tanda kelemahan atau kehilangan maruah, sedangkan kesediaan menerima teguran merupakan sebahagian daripada kematangan emosi.
Namun, jelasnya, tidak semua lelaki mempunyai sikap berkenaan kerana tindak balas seseorang turut dipengaruhi personaliti, pengalaman hidup dan cara mereka dibesarkan.

Anggap perangai biasa
Sesetengah lelaki mungkin tidak menyedari tingkah laku mereka mengganggu orang lain kerana tahap kesedaran kendiri dan kepekaan sosial yang rendah.
Perbuatan seperti gurauan keterlaluan atau berkasar ketika marah mungkin dianggap perkara biasa oleh individu terbabit, terutama jika tingkah laku itu sudah sebati dalam persekitaran mereka.
Dr. Fauziah berkata, keadaan menjadi lebih sukar apabila seseorang tidak melihat perangainya sebagai satu masalah dan tidak memahami kesan perbuatan tersebut terhadap orang lain.
Beliau berkata, individu yang sudah ditegur tetapi masih mengulangi tingkah laku sama mungkin belum mempunyai kesedaran, motivasi atau komitmen mencukupi untuk berubah.
Ketiadaan usaha memperbaiki diri atau menyedari kesilapan, sesuatu tabiat itu boleh berterusan walaupun menjejaskan hubungan dengan orang sekeliling.
Dr. Fauziah berkata, perubahan boleh bermula apabila seseorang bersedia mendengar pandangan orang lain tanpa terus bersikap defensif atau menganggap setiap teguran sebagai serangan peribadi.
Katanya, lelaki juga perlu belajar mengawal emosi, mempertimbangkan perspektif orang lain dan menilai semula tindakan sendiri sebelum bertindak balas terhadap sesuatu keadaan.
Kemahiran komunikasi yang baik dapat membantu seseorang menyampaikan perasaan tanpa merendahkan orang lain, selain mengurangkan salah faham dalam hubungan seharian.
Katanya, kaunseling juga boleh membantu individu mengenal pasti corak tingkah laku yang kurang sihat serta membina kemahiran mengurus emosi dan berkomunikasi dengan lebih berkesan.
Jejas perhubungan
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di media sosial mendapati, perangai menjengkelkan golongan lelaki turut mempengaruhi perhubungan dengan pasangan.
Seorang pelajar, Aina Fatihah Abdullah, 24, berkata, antara perangai tersebut ialah enggan mengakui kesalahan.
Sebaliknya, berusaha mencari 1,001 alasan untuk meletakkan kesalahan kepada orang lain.
Katanya, sikap buruk itu sekali gus menyukarkan sesuatu masalah diselesaikan.
“Kadang-kadang, perempuan bukan suka-suka mahu menyalahkan pasangan, cuma nak mereka mengaku kalau memang buat silap.
“Tetapi, dia boleh pusing cerita sampai akhirnya kita pula nampak macam orang yang bersalah,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Ezureen Natasya Kahar Jaafar, 23, berkata, sikap lelaki yang suka memperlekehkan perasaan orang lain atas alasan bergurau juga boleh mengundang rasa tidak selesa.
Katanya, sesetengah lelaki menganggap komen mengenai penampilan atau kelemahan seseorang sebagai bahan lawak.
Sedangkan gurauan tersebut mungkin menyinggung perasaan individu yang mendengarnya.
“Apabila kita tegur mereka kata perempuan sensitif.
“Golongan ini bukan sahaja tidak menghormati perasaan individu tersebut, malah terus mempersendakannya,” katanya.











