Mangsa hilang akibat banjir Nepal-China lebih 6,600 orang - Utusan Malaysia

Mangsa hilang akibat banjir Nepal-China lebih 6,600 orang

BEBERAPA buah bangunan dipenuhi lumpur akibat banjir dahsyat di Devighat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Pihak berkuasa pengurusan bencana Nepal pada Rabu mengemas kini jumlah mangsa yang dilaporkan hilang susulan tragedi banjir kilat pada 26 Ogos lalu kepada 6,150 orang selepas proses pengumpulan data dan pengesahan semula dijalankan di kawasan terjejas.

Kenaikan mendadak itu mencatatkan peningkatan berbanding angka 5,179 mangsa hilang yang dilaporkan sehari sebelum ini di seluruh daerah yang dilanda bencana.

Jurucakap agensi pengurusan bencana Nepal, Shanti Mahat mengesahkan bahawa pengemaskinian data berkenaan dilakukan berdasarkan maklumat terkini dari peringkat lapangan.

“Kami telah mengumpul perincian mengenai individu yang hilang daripada pejabat-pejabat daerah dan mengemas kini data berkenaan selepas proses pengesahan selesai,” kata Mahat kepada agensi berita AFP.

Sehingga kini, jumlah mayat yang berjaya ditemui di Nepal melepasi 1,403 mangsa dengan hanya 105 daripadanya telah berjaya dikenalpasti identiti mereka oleh pihak berkuasa perubatan.

Sementara itu di sempadan China, media rasmi negara berkenaan melaporkan angka korban mencatatkan 43 kematian manakala 519 individu lagi masih dilaporkan hilang.

Secara keseluruhannya, jumlah gabungan mangsa terkorban akibat runtuhan glasier di sempadan Nepal-China kini mencecah 1,446 jiwa, manakala sekurang-kurangnya 6,669 orang masih hilang, termasuk ratusan warga asing yang terdiri daripada pelancong dan penganut agama yang menjalankan aktiviti ziarah.

Skala kemusnahan banjir berdarah itu disifatkan sebagai bencana paling buruk dalam sejarah kawasan berkenaan.

Kerajaan Nepal mengaitkan tragedi itu dengan peningkat suhu global yang menjejaskan kestabilan banjaran gunung Himalaya.

Walaupun Nepal yang berpenduduk 30 juta itu hanya menyumbang sebahagian kecil daripada emisi gas rumah hijau global berbanding negara-negara industri besar, negara terpencil itu terpaksa menanggung kesan paling parah.

Perdana Menteri Balendra Shah dijadualkan melakukan lawatan rasmi pertamanya ke luar negara bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) minggu depan untuk mendesak tindakan iklim antarabangsa, ketika negara itu menganggarkan kos pembinaan semula pascabencana menelan belanja sehingga AS$4.78 bilion (RM19.59 bilion). – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×