JAKARTA: Kerajaan Indonesia mengerahkan 64 buah pesawat dan 54,394 anggota untuk menangani kebakaran hutan dan tanah di pelbagai wilayah Indonesia sama ada dari darat mahupun udara.
Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya berkata pada Isnin, operasi memadam kebakaran hutan dan tanah itu telah dilakukan sejak Ogos lalu.
Teddy berkata, 55 daripada 64 pesawat itu merupakan milik Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), manakala sembilan lagi ialah pesawat Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang terus menjalankan operasi ‘pengeboman’ air.
Seramai 54,394 anggota gabungan itu terdiri daripada anggota TNI, polis, Kementerian Perhutanan, BNPB dan Badan Pengurusan Bencana Daerah, Manggala Agni yang merupakan pasukan khas kerajaan Indonesia bertanggungjawab terhadap pencegahan serta pemadaman kebakaran hutan serta tanah.
Ia turut melibatkan sukarelawan dan masyarakat yang turut terus menjalankan operasi di lapangan.
Indonesia sering berdepan kebakaran hutan dan tanah ketika musim kemarau, yang biasanya berlangsung dari Julai hingga Oktober.
Bagaimanapun, kebakaran tahun ini semakin buruk, sebahagiannya disebabkan fenomena iklim El Nino, dijangka menjadi terkuat sejak rekod seumpamanya mula direkodkan empat dekad lalu.
Pakar turut menyalahkan perubahan iklim, kemerosotan hutan selama beberapa dekad, amalan pembersihan tanah melalui kaedah tebang dan bakar di negara itu.
Lebih 202,000 hektar tanah terbakar di seluruh Indonesia antara Januari hingga Julai, menurut kerajaan. – AGENSI











