SANAA: Sekurang-kurangnya 32 orang awam terbunuh dan lebih 100 lagi cedera di Yemen sejak kumpulan Houthi melancarkan serangan baharu bulan lalu, kata Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk pada Khamis.
Pejabatnya mendokumentasikan kematian 32 daripada orang awam berkenaan, termasuk 15 kanak-kanak dan tiga wanita, sejak kumpulan yang disokong Iran itu menyambung semula serangan pada awal Ogos.
Menurut kenyataan itu, Houthi turut melancarkan tiga serangan berasingan ke atas kem di wilayah Marib yang menempatkan penduduk yang melarikan diri daripada pertempuran. Kem yang menempatkan orang dipindahkan di dalam negara itu diserang pada 7 Ogos, 7 September dan 9 September.
Kira-kira 125,000 orang terpaksa berpindah akibat keganasan yang kembali tercetus itu.
“Seolah-olah rakyat Yemen belum cukup menanggung penderitaan, orang awam kini menanggung kesan paling buruk daripada peningkatan pertempuran terbaru ini. Ramai yang terpaksa melarikan diri demi menyelamatkan nyawa.
“Orang awam tidak boleh dijadikan sasaran dan perlindungan mereka mesti menjadi keutamaan utama,” kata Turk dipetik Arab News.
Houthi melanggar gencatan senjata selama empat tahun dalam perang saudara Yemen apabila menyerang pasukan yang setia kepada kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa pada awal Ogos.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mereka melancarkan serangan untuk menawan semula seluruh pantai Laut Merah, termasuk kawasan daratan dan pulau di sekitar Selat Bab al-Mandab, laluan sempit perkapalan penting bagi kapal yang keluar dan masuk ke perairan itu.
Kumpulan itu turut menyerang kapal dan melancarkan serangan peluru berpandu serta dron ke atas sasaran awam di Arab Saudi, negara yang menyokong kerajaan Yemen.
Serangan Houthi telah merosakkan infrastruktur awam Yemen yang rapuh serta mengehadkan akses orang awam kepada perkhidmatan asas, menurut PBB.
Turk turut menggesa pembebasan segera 73 kakitangan PBB yang ditahan oleh Houthi.
“Penahanan mereka yang berterusan, sepenuhnya di luar perlindungan undang-undang, tidak boleh diterima dan tidak boleh ditoleransi.
“Saya semakin bimbang terhadap keselamatan mereka susulan pertempuran yang kembali tercetus ini,” katanya.
Houthi mencetuskan perang saudara Yaman selepas menawan ibu negara Sanaa pada 2014, memaksa kerajaan melarikan diri.
Kumpulan itu menguasai sebahagian besar kawasan utara negara berkenaan, manakala pakatan ketenteraan antarabangsa campur tangan untuk menyokong pasukan kerajaan dan sekutu mereka yang berpangkalan di selatan.
Penguasaan Houthi ke atas wilayah di sepanjang Selat Bab al-Mandab mencetuskan kebimbangan perkapalan antarabangsa yang menggunakan laluan itu akan berdepan risiko sama seperti di Selat Hormuz, yang kini menjadi pusat perang antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).











