MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. pada Jumaat berkata, beliau mengampunkan Mary Jane Veloso, wanita Filipina yang menghabiskan hampir 15 tahun di penjara Indonesia selepas dijatuhi hukuman mati kerana kesalahan mengedar dadah sebelum dihantar pulang ke negara asalnya.
Veloso, 40, dijangka dibebaskan selepas menerima pengampunan itu kerana tiada lagi kes aktif terhadapnya, namun Marcos Jr. tidak menyatakan bila pembebasan itu akan dilakukan.
Ibu kepada dua anak itu ditahan dan dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah Indonesia pada 2010 selepas beg pakaian yang dibawanya didapati mengandungi 2.6 kilogram heroin.
Sembilan tahun selepas terselamat daripada hukuman mati pada saat akhir, Jakarta menyerahkannya kepada Manila pada 2024 menerusi aturan praktikal bagi membolehkannya dihantar pulang dan menjalani baki hukuman di penjara Filipina.
“Saya akan berikan anda berita eksklusif. Saya menandatangani pengampunannya semalam,” kata Marcos Jr. kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke bandar Batac di utara negara itu pada Jumaat.
Jurucakapnya sebelum ini berkata, Marcos Jr. sedang mempertimbangkan dengan serius untuk memberikan pengampunan mutlak kepada Veloso.
Peguam Veloso menyampaikan berita itu kepada keluarganya, kata ibunya, Celia Veloso kepada AFP menerusi telefon dari kampung halaman mereka di utara Filipina.
“Mereka sangat gembira. Mereka berkata kepada saya, ‘akhirnya kami dapat bersama mama’,” katanya mengenai dua anak lelaki Mary Jane.
Kes wanita itu yang pergi ke Indonesia untuk mencari pekerjaan sebagai pembantu rumah, mencetuskan kemarahan di Filipina, sebuah negara yang jutaan rakyatnya berhijrah ke luar negara untuk mendapatkan pekerjaan bergaji lebih baik.
Veloso dan penyokongnya mendakwa dia diperdaya oleh sindiket dadah antarabangsa.
Pada 2015, Indonesia menangguhkan pelaksanaan hukuman matinya selepas pihak berkuasa Filipina menahan individu yang disyaki merekrutnya.-AFP











