RABAT: Raja Maghribi, Raja Mohammed VI melantik Fatima Ezzahra El Mansouri pada Selasa sebagai wanita pertama memegang jawatan Perdana Menteri negara itu selepas parti liberal-pertengahannya muncul pemenang dalam pilihan raya Parlimen pada 23 September lalu.
Kenyataan rasmi pihak istana mengesahkan Raja Mohammed VI sudah mengarahkan Fatima Ezzahra untuk membentuk sebuah kerajaan baharu.
Parti pimpinan Fatima Ezzahra, Parti Autentisiti dan Modeniti (PAM) yang ditubuhkan pada 2008 oleh penasihat raja, menempatkan posisinya sebagai pengimbang kepada Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) yang berteraskan Islamik dengan mempromosikan pemodenan sosial dan pandangan sekular.
Maghribi merupakan sebuah negara raja berperlembagaan dengan institusi beraja kekal memegang kuasa luas membabitkan dasar luar, pertahanan serta portfolio utama kerajaan.
Di bawah Perlembagaan negara itu, raja akan melantik ketua kerajaan daripada parti politik yang memenangi kerusi terbanyak dalam Dewan Perwakilan.
PAM, yang sebelum ini merupakan anggota kedua terbesar dalam pakatan kerajaan terdahulu, melonjak ke tangga teratas susulan penyertaan Ketua Persekutuan Bola Sepak Maghribi merangkap bekas pengurus bajet kerajaan, Fouzi Lekjaa, beberapa minggu sebelum pengundian.
Fatima Ezzahra, seorang peguam yang pernah menjawat jawatan Menteri Perumahan dalam kerajaan terdahulu serta Datuk Bandar Marrakech, kini memimpin rundingan pembentukan kerajaan gabungan sebelum mengemukakan senarai ahli Kabinet untuk perkenan raja.
Kerajaan baharu ini bakal mengendalikan fasa akhir perbelanjaan bernilai AS$20 bilion (RM81.5 bilion) sebagai persediaan menganjurkan Piala Dunia 2030 secara bersama dengan Portugal dan Sepanyol.
Pentadbiran baharu itu juga akan melaksanakan dasar ekonomi khusus bagi menangani ketidakpuasan hati golongan muda yang sebelum ini mencetuskan insiden pencerobohan sempadan di wilayah Sepanyol, Ceuta pada Julai serta siri protes pemuda tahun lalu.
Dalam pilihan raya berkenaan, PAM memenangi 97 kerusi diikuti rakan gabungannya dalam kerajaan terdahulu iaitu Perhimpunan Kebangsaan Bebas (RNI) dengan 66 kerusi dan parti konservatif nasionalis Istiqlal dengan 65 kerusi.
Sepanjang kempen pilihan raya, PAM sebelum ini menolak untuk mengekalkan pakatan dengan RNI selepas kedua-dua pihak saling menyalahkan berhubung kegagalan dasar pentadbiran termasuk isu kenaikan harga makanan.
Bagaimanapun, Fatima Ezzahra pada Khamis menyatakan beliau tidak meletakkan sebarang syor ketat dalam rundingan pembentukan kerajaan dan menganggap perselisihan faham sebelum ini sebagai perkara lalu. -AGENSI











