Maghribi nafi terbabit isu kemasukan besar-besaran migran ke Ceuta - Utusan Malaysia

Maghribi nafi terbabit isu kemasukan besar-besaran migran ke Ceuta

PEGAWAI polis Sepanyol berkawal ketika migran menunggu di kaki lima sebelum didaftarkan di kawasan Loma Colmenar, Ceuta.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABAT: Kementerian Luar Ma­ghribi menegaskan tiada bukti menunjukkan Rabat terbabit dalam kemasukan besar-besaran migran ke Ceuta, wilayah Sepanyol di Afrika Utara pada Julai lalu.

Lebih 70,000 migran mema­suki Ceuta dari kawasan berhampiran Maghribi pada 30 dan 31 Julai lalu. Ia merupakan   gelombang kemasukan luar biasa yang mengorbankan puluhan nyawa selain mencetuskan pertikaian dalam Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu migrasi.

Lebih 100 orang maut dalam gelombang kemasukan imigran ke wilayah Sepanyol itu.

Pihak berkuasa tempatan berkata, ribuan migran, terma­suk kanak-kanak bawah umur tanpa ditemani masih berada di wilayah itu dan tinggal di kem sementara atau di jalan raya serlain di pantai Ceuta.

Kehadiran mereka mencetuskan tunjuk perasaan hampir setiap hari oleh penduduk yang berang dengan cara kerajaan Sepanyol menangani krisis imigran Maghribi.

Parti pembangkang Sepanyol sejak itu menyasarkan hubungan kerajaan dengan Maghribi dan menuduh Rabat memudahkan atau merancang kemasukan imigran tersebut.

“Mengapa terus melontarkan tuduhan terhadap Maghribi sedangkan tiada bukti, fakta atau laporan yang menunjukkan sebarang penglibatan pihak berkuasa Maghribi?

“Mengapa migran tanpa dokumen tidak dihantar pulang, sedangkan kerajaan Maghribi secara rasmi sudah bersetuju untuk menerima mereka semula? 

“Mengapa kanak-kanak ba­wah umur tanpa ditemani dipisahkan daripada keluarga mereka, sedangkan Rabat telah menggesa supaya mereka dihantar pulang dengan segera?” kata Kementerian Luar Maghribi itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kementerian itu menegaskan Maghribi enggan dijadikan alat politik menjelang pilihan raya, selain tidak menerima negara itu dijadikan ‘kambing hitam’ dalam penyelesaian pertikaian politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×