LONDON: Amerika Syarikat (AS) telah menggerakkan dua buah kapal selam berkuasa nuklear bagi mempertahankan laluan kabel dasar laut yang kritikal berikutan kebimbangan berhubung potensi tindakan sabotaj oleh Russia, menurut sumber ketenteraan.
Akhbar Daily Mail mendedahkan perkara itu semalam.
Langkah keselamatan berkenaan diambil berikutan amaran yang semakin meningkat bahawa Presiden Russia, Vladimir Putin didakwa sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan sasaran ke atas negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Eropah.
Laluan kabel bawah laut yang membentang di antara Britain dan AS itu memikul peranan yang amat penting apabila mengendalikan lebih 90 peratus daripada keseluruhan transaksi perbankan antarabangsa United Kingdom (UK).
Perkembangan ini menyusul selepas Perdana Menteri Poland, Donald Tusk memberi amaran bahawa Moscow sedang merancang untuk menyasarkan negara-negara anggota NATO, manakala Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan bahawa ancaman serangan siber dan fizikal kini semakin meningkat.
Ketua Turus Tentera Laut Diraja Britain, Jeneral Gwyn Jenkins menegaskan kepentingan pertahanan dasar laut dalam menjamin kestabilan negara.
“Keupayaan pencegahan nuklear kami melindungi negara. Kabel bawah laut membawa hampir semua data, transaksi dan komunikasi yang menjadi tonggak kehidupan moden.
“Dalam semua bidang ini, Lautan Atlantik adalah sangat kritikal,” kata Jenkins.
Kabel bawah laut itu dilaporkan amat terdedah kepada ancaman keselamatan terutamanya di kawasan laluan maritim GIUK gap iaitu dua jajaran lautan terbuka yang terletak di antara Greenland, Iceland dan Britain.
Seorang sumber ketenteraan memaklumkan bahawa kekangan jangkauan operasi Britain pada masa ini memerlukan campur tangan terus daripada rakan sekutunya. – AGENSI











