TEHERAN: Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan hebat ke atas Iran pada Khamis sebagai tindak balas terhadap serangan Teheran yang menyasarkan pangkalan tentera AS di Jordan.
Serangan itu dilancarkan ketika perang di Asia Barat kembali tercetus dan sekali lagi melibatkan kumpulan proksi yang disokong republik Islam itu.
Serangan pertama selepas hampir seminggu keadaan reda itu memusnahkan harapan untuk kembali ke meja rundingan.
“Serangan ini adalah tindak balas yang berkuasa terhadap cubaan serangan Iran ke atas anggota tentera AS yang berpangkalan di Asia Barat semalam,” kata Markas Pusat AS (CENTCOM).
Arab Saudi dan AS turut mengumumkan serangan pada Rabu ke atas pangkalan kumpulan militan di Iraq.
Sekutu AS, Israel, menuduh Hizbullah yang disokong Iran melanggar gencatan senjata.
Selama dua hari berturut-turut, Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar dunia, melaporkan serangan dron yang menyasarkan kemudahan minyak mentahnya, yang didakwa dilakukan oleh kumpulan bersenjata Iraq yang bersekutu dengan Teheran.
Iran turut melancarkan peluru berpandu ke arah Jordan, sekutu AS, dengan media kerajaan Iran kemudian melaporkan berlaku serangan Amerika berhampiran sempadan republik Islam itu dengan Iraq.
Menjelang serangan terbaharu itu, Presiden AS, Donald Trump berkata kepada Fox News: “Kami akan menyerang mereka dengan habis-habisan. Kami akan membelasah mereka habis-habisan.”
Televisyen kerajaan Iran pula melaporkan serangan AS di kawasan sempadan Piranshahr, selepas agensi berita Fars melaporkan sebuah peluru berpandu mengenai kawasan yang tidak berpenghuni dan tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.
Terdahulu, tentera Jordan berkata, ia berjaya memintas lima peluru berpandu Iran, manakala Kor Pengawal Revolusi Iran berkata, mereka menyasarkan pangkalan tentera AS di negara itu.
“Selagi ancaman terhadap Republik Islam Iran berterusan, penentangan akan diteruskan,” kata mereka.
Israel juga menuduh Hizbullah melancarkan dron pada waktu malam terhadap sebuah kenderaan Israel di dalam wilayah Lubnan, yang menurut tentera rejim Zionis merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap gencatan senjata.
Israel bertempur bersama AS pada minggu-minggu awal perang menentang Iran dan pada masa sama memerangi Hizbullah di Lubnan. – AFP










