PM baharu UK umum tiada cukai bil elektrik pengguna - Utusan Malaysia

PM baharu UK umum tiada cukai bil elektrik pengguna

ANDY BURNHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK), Andy Burnham berikrar pada Selasa mahu menjadikan pemerintahannya sebagai kerajaan yang menangani kos sara hidup, selepas mengumumkan pemotongan cukai tenaga pada hari pertama penuh beliau memegang jawatan itu.

Burnham, yang mengambil alih kepimpinan daripada Keir Starmer pada Isnin, mengumumkan bil elektrik pengguna tidak lagi dikenakan cukai nilai tambah (VAT) sebagai langkah pertama dasar utama beliau sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, seorang penyokong kuat Starmer yang antara beberapa menteri digugurkan daripada Kabinet oleh Burnham mempersoalkan sumber pembiayaan bagi langkah itu, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap usahanya untuk menyatukan parti Buruh.

Kerajaan memaklumkan mulai 1 Oktober, bil elektrik akan dikecualikan daripada VAT, yang dijangka menjimatkan purata isi rumah sekitar 45 pound (RM246) setahun.

Dalam ucapan pembukaan mesyuarat Kabinet, Burnham berkata, anggota kerajaan perlu memberi rakyat keyakinan bantuan kepada merejka sedang tiba.

“Kita perlu menjadi kerajaan yang menangani kos sara hidup, mengurangkan beban kos sara hidup dan melihat semua kaedah yang mungkin untuk melakukannya,” katanya.

Namun, beliau menegaskan kerajaan perlu mengekalkan ‘di­sip­lin fiskal’ dan berjanji untuk sentiasa menjelaskan sumber pembiayaan bagi setiap dasar yang diperkenalkan.

Kerajaan menganggarkan pemotongan cukai itu akan menelan belanja kira-kira 850 juta pound (RM4.6 bilion) bagi tahun kewa­ngan semasa UK.

Menurut kerajaan,langkah itu akan dibiayai dengan membatalkan rancangan kerajaan terdahulu di bawah Starmer untuk melaksanakan sistem pengenalan digital, yang dianggarkan menelan kos 1.8 bilion pound (RM9.8 bilion) kepada pembayar cukai.

Bagaimanapun, bekas menteri, Darren Jones, menerusi hantaran di platform X mendakwa program pengenalan digital itu masih belum mempunyai peruntukan kewangan.

“Kerajaan perlu menjelaskan bagaimana dasar baharunya akan dibiayai dalam pembentangan belanjawan,” katanya.

Burnham, yang dilantik sebagai perdana menteri selepas ahli-ahli parlimen parti Buruh hilang kepercayaan terhadap Starmer, menegaskan beliau akan sentiasa menjelaskan sumber pembiayaan bagi setiap dasar yang diperkenalkan.

Beliau kini sedang mempertimbangkan langkah kawalan kadar sewa dan menetapkan had tambang bas sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kos sara hidup.

Burnham menjadi perdana menteri ketujuh Britain dalam tempoh lebih sedekad pada Isnin. Beliau memberi bayangan kerajaan parti Buruh akan mengambil pendekatan yang lebih cenderung ke arah dasar berhaluan kiri menerusi ucapan sulungnya di luar pejabat perdana menteri. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN