Lelaki terselamat selepas 8 hari terperangkap dalam runtuhan gempa - Utusan Malaysia

Lelaki terselamat selepas 8 hari terperangkap dalam runtuhan gempa

HEMAN GIL terselamat daripada dua gempa bumi yang melanda Venezuela. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CATIA LA MAR: Walaupun angka korban yang terus meningkat, satu keajaiban berlaku semalam apabila seorang lelaki berjaya dibawa keluar dalam keadaan hidup selepas terperangkap selama lapan hari di bawah runtuhan bangunan akibat kejadian gempa bumi berkembar di Venezuela.

Pasukan penyelamat bertungkus-lumus selama lebih 100 jam untuk membebaskan mangsa, Hernán Gil, sejak dia mula dikesan di bawah sisa runtuhan seberat 140 tan.

Seorang anggota bomba dari Chile menyifatkan operasi menyelamat tersebut sebagai operasi yang paling kompleks dan sukar dari segi teknikal yang pernah dikendalikannya tanpa ragu-ragu.

Dalam bencana gempa bumi yang melanda Venezuela pada 24 Jun lalu, puluhan ribu mangsa lagi masih dilaporkan hilang.

Seorang paramedik dari Palang Merah Costa Rica, Allan Madrigal, memberitahu pemberita di lokasi kejadian bahawa Gil berada dalam keadaan sangat sempurna sebaik sahaja berjaya dikeluarkan daripada penderitaan tersebut. 

Madrigal merupakan individu pertama yang terdengar suara sayu Gil meminta bantuan dari bawah runtuhan pada Ahad.

“Ia adalah satu detik yang sangat emosional. Pada mulanya, saya tidak mempercayai telinga sendiri dan terpaksa meminta rakan sekerja untuk mengesahkan bahawa saya tidak berhalusinasi,” imbau Madrigal.

Sejak detik itu, pasukan penyelamat bertungkus lumus menggali runtuhan bagi mengeluarkan pengawal keselamatan berkenaan.

Ketika gempa bumi berkembar itu melanda, Gil sedang bertugas di dalam sebuah pondok konkrit kecil di tingkat bawah tanah kawasan parkir yang terletak bersebelahan pusat beli-belah Galerias Playa Grande di Catia La Mar.

Struktur pondok konkrit berkenaan dipercayai telah membentuk seakan-akan ‘perisai’ di sekelilingnya, sekali gus melindungi mangsa daripada dihempap runtuhan seberat 140 tan yang menyembah bumi di sekeliling dan di atasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN