LONDON: Golongan jutawan termasuk bekas pemain bola sepak terkemuka, Gary Lineker dan juruterbit muzik, Brian Eno telah mengutuskan surat terbuka kepada Perdana Menteri baharu Britain, Andy Burnham memohon agar kadar cukai ke atas mereka dinaikkan.
“Kami mampu membayarnya. Kami bukannya mendesak cukai lebih tinggi dikenakan ke atas golongan yang keluar bekerja setiap hari demi mencari rezeki, sebaliknya ke atas golongan paling kaya yang memperoleh pendapatan daripada pegangan harta dan kekayaan mereka,” menurut 120 individu kaya di Britain kepada Burnham menerusi surat terbuka itu.
Surat yang dianjurkan oleh pergerakan Patriotic Millionaires itu menegaskan bahawa langkah itu mampu mewujudkan masyarakat yang lebih saksama, selain menggesa agihan semula kekayaan dan kuasa daripada golongan paling kaya.
Orang ramai sebenarnya sudah mempunyai pilihan untuk menyumbang wang atau saham secara sukarela kepada Jabatan Perbendaharaan menerusi kemudahan dana sumbangan yang sedia ada.
Pemimpin parti Konservatif, Kemi Badenoch memberi maklum balas tentang cadangan itu. Beliau menyindir Lineker dengan menyatakan adalah sangat dialu-alukan untuk membayar lebih banyak cukai.
Lineker boleh menulis cek terus kepada Perbendaharaan dan tiada siapa yang menghalangnya, kata Badenoc.
Kumpulan Patriotic Millionaires menyokong pelaksanaan cukai sebanyak dua peratus ke atas pemilik kekayaan yang melebihi £10 juta (RM54.5 juta).
“Golongan jutawan mempunyai semangat patriotik yang tinggi. Kami cintakan negara ini dan mahu melihatnya berjaya. Namun, kejayaan memerlukan pelaburan dan sumber utama modal pelaburan yang belum diteroka kini berada di tangan kami, dalam bentuk potensi yang belum dikenakan cukai,” menurut kenyataan dalam surat tersebut. – AGENSI










