BAITULMUQADDIS/WASHINGTON: Pegawai Israel memberi bayangan negara itu sedang membuat persiapan menghadapi kemungkinan serangan ketenteraan baharu terhadap Iran, susulan ketegangan berterusan antara Teheran dan Amerika Syarikat (AS) termasuk serangan kumpulan Houthi di Laut Merah.
Media Israel turut melaporkan institusi keselamatan negara itu meningkatkan tahap kesiapsiagaan susulan kebimbangan ketegangan serantau boleh memuncak dengan pantas.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz yang dipetik akhbar Yedioth Ahronoth mendakwa, negara itu bersedia menghadapi semua kemungkinan tersebut.
Beliau turut memberi amaran Iran akan menerima tamparan hebat sekiranya melancarkan serangan terhadap Israel.
Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen turut menggesa semua pihak bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan menegaskan situasi semasa di rantau itu memerlukan tahap kewaspadaan yang lebih tinggi.
“Kita melihat apa yang sedang berlaku di rantau ini. AS menyerang Teheran, manakala Iran menyerang beberapa negara di rantau ini. Keadaan ini memerlukan kewaspadaan dan peningkatan tahap kesiapsiagaan,” katanya kepada stesen Radio Tentera.
Ketegangan serantau meningkat sejak dua minggu lalu selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pada 8 Julai bahawa gencatan senjata yang digariskan dalam memorandum persefahaman AS -Iran bertarikh 18 Jun tidak lagi berkuat kuasa selepas negaranya bersama Israel melancarkan serangan ke atas Teheran pada 28 Februari..
Sejak itu, AS dan Iran telah saling melancarkan serangan dengan Washington menyasarkan lokasi di dalam Iran, manakala Teheran mendakwa telah menyerang kemudahan dan aset ketenteraan AS di beberapa negara di rantau tersebut.
Pertempuran itu telah mengganggu laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, mengancam bekalan tenaga global dan menyebabkan penutupan ruang udara secara berkala serta peningkatan amaran mengenai kemungkinan serangan terhadap kemudahan selain kepentingan AS di luar Asia Barat.
Sementara itu, Trump memberi amaran bahawa beliau akan menganggap Teheran bertanggungjawab sekiranya kumpulan Houthi di Yemen melancarkan serangan lanjut di Laut Merah.
Kenyataan itu dibuat selepas kumpulan Houthi mendakwa mereka telah melakukan serangan terhadap dua kapal tangki minyak Arab Saudi menggunakan peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah dan dron.
Trump turut berikrar menggunakan aset Iran yang dibekukan untuk membayar sebarang kerosakan terhadap kapal diserang tetapi Teheran memberi amaran tindakan itu akan mewujudkan contoh berbahaya yang mencetuskan ketegangan.
Sehingga kelmarin, AS terus melancarkan serangan ke atas Iran selepas kumpulan Houthi menyerang beberapa kapal tangki minyak di Laut Merah, sekali gus meningkatkan ketegangan sehingga mendorong harga minyak mentah melepasi AS$100 (RM409) setong.
Iran semalam kemudian membalas serangan menggunakan dron kamikaze Arash terhadap beberapa kemudahan dan pangkalan tentera AS di Bahrain dan Jordan.
Teheran berpendapat mana-mana kemudahan atau pangkalan di Asia Barat yang digunakan tentera AS untuk melancarkan serangan, dianggap sebagai sasaran sah untuk tindakan balas.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan Teheran akan mengambil tindakan terhadap mana-mana negara yang membantu AS dalam serangan ke atas Republik Islam itu.
“Sebarang penyertaan, kerjasama atau bantuan dalam melakukan pencerobohan terhadap Iran akan mewujudkan tanggungjawab antarabangsa terhadap pihak berkaitan,” katanya ketika menghadiri mesyuarat di Kyrgyzstan.
Beliau turut menegaskan, Iran kini mengekalkan haknya untuk mengambil semua langkah yang diperlukan dalam kerangka mempertahankan diri.
Dalam pada itu, serangan AS pada waktu malam terhadap wilayah Khuzestan di barat daya Iran telah mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan beberapa yang lain, menurut laporan media kerajaan Republik Islam pada Jumaat.
Tentera AS memaklumkan lewat kelmarin bahawa mereka telah melaksanakan malam ke-13 berturut-turut serangan terhadap sasaran ketenteraan Iran bagi mempertanggungjawabkan Iran dan mengurangkan ancaman Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) terhadap perkapalan komersial. – AGENSI










