Iran henti serang pangkalan AS di negara-negara Teluk - Utusan Malaysia

Iran henti serang pangkalan AS di negara-negara Teluk

IRAN menghentikan serangan ke atas pangkalan AS di Asia Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran dan Amerika Syarikat (AS) menghentikan sementara serangan masing-masing pada Ahad, sekali gus memberi kelegaan kepada sektor perkapalan di Teluk dan industri minyak daripada serangan peluru berpandu.

Iran memaklumkan bahawa ia telah menghentikan serangan balas terhadap sekutu Washington di Asia Barat.

Namun,  Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mike Waltz berkata dalam program Fox News Sunday bahawa walaupun pasukan tenteranya kekal  bersiap siaga sepenuhnya, Trump akan memberi sedikit ruang kepada proses rundingan.

Harga minyak merosot di pasaran Asia pada awal Isnin apabila pelabur menarik nafas lega secara berhati-hati susulan pertempuran dihentikan.

Kira-kira setengah jam selepas dagangan bermula, harga minyak mentah penanda aras antarabangsa Brent Laut Utara susut 5.89 peratus kepada AS$91.08 (RM372) setong selepas seketika jatuh di bawah paras AS$90 (RM368). 

Sementara itu, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS merosot 5.73 peratus kepada AS$84.19 setong (RM344).

Sebelum Jumaat lalu, tentera AS telah melancarkan serangan ke atas Iran selama 13 malam berturut-turut, sekali gus menjadi peningkatan terbesar dalam perang yang kini hampir memasuki bulan kelima sejak gencatan senjata pada April. 

Bagaimanapun, tiada pengeboman dilakukan AS pada malam Jumaat dan Sabtu ke atas Iran.

“Serangan ini berterusan sehingga dua malam lalu, tetapi sepanjang dua malam yang lalu pihak Amerika telah menghentikan serangan mereka,” kata jurucakap tentera Iran, Mohammad Akraminia.

“Memandangkan strategi kami pada asasnya adalah serangan balas, kami juga telah menghentikan operasi serangan balas kami,” ujarnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN