WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu lagi gelombang serangan ke atas sasaran ketenteraan Iran awal pagi Jumaat, menandakan malam ke-13 pertempuran aktif di rantau itu.
Presiden Donald Trump turut berikrar untuk menggunakan aset Iran yang dibekukan bagi membayar sebarang kerosakan terhadap kapal-kapal.
Serangan terbaru itu berlaku sehari selepas kumpulan Houthi di Yemen yang disokong Iran membuka satu lagi medan konflik dengan melancarkan serangan terhadap kapal tangki minyak di laluan perkapalan Laut Merah.
Namun, Markas Pusat AS (CENTCOM) tidak menyebut secara khusus mengenai sekatan yang dilakukan oleh kumpulan pemberontak itu ketika mengumumkan operasi ketenteraan terbaharu.
Media kerajaan Iran melaporkan bahawa peluru berpandu Amerika telah mengenai bandar Ahvaz di barat daya negara itu.
Letupan turut dilaporkan berlaku di bandar Omidiyeh yang berdekatan, selain di bandar pelabuhan Bandar Abbas dan Pulau Qeshm yang terletak di Selat Hormuz.
CENTCOM menyatakan bahawa serangan tersebut bertujuan memastikan Iran dipertanggungjawabkan dan mengurangkan ancaman daripada Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) terhadap perkapalan komersial.
Harga minyak melonjak berikutan peningkatan ancaman terhadap perdagangan tenaga.
Trump berkata, AS akan mempertanggungjawabkan Iran atas tindakan Houthi dan memberi amaran bahawa kedua-duanya akan menerima hukuman ketenteraan yang besar dalam masa terdekat.
Penanda aras minyak dunia, Brent, meningkat melepasi paras AS$100 (RM409) setong buat pertama kali sejak Mei, naik sebanyak tujuh peratus.
Pada masa sama, para pemimpin dunia menyuarakan kebimbangan terhadap serangan Houthi di Laut Merah.
“Keadaan semakin tidak terkawal. Ia berada di ambang sesuatu yang sukar dibayangkan,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres.
“Satu krisis mencetuskan krisis yang lain. Satu peningkatan ketegangan membawa kepada peningkatan yang seterusnya,” katanya dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.
Presiden Bank Pusat Eropah, Christine Lagarde, memberi amaran bahawa kejutan dalam sektor tenaga boleh menjadi lebih buruk dan meningkatkan kadar inflasi, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kenaikan kadar faedah zon euro pada September.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius memberi amaran tentang akibat amat serius kepada ekonomi yang bergantung kepada import minyak dan berkata, tiada apa-apa yang menunjukkan keamanan boleh dicapai.
Perang kembali tercetus bulan ini selepas gencatan senjata hanya bertahan beberapa minggu, sekali lagi menjerumuskan rantau itu ke dalam keadaan huru-hara apabila Iran dan AS bertempur untuk menguasai Selat Hormuz yang strategik. – AFP










