Trump tidak mahu Netanyahu buat serangan balas terhadap Iran - Utusan Malaysia

Trump tidak mahu Netanyahu buat serangan balas terhadap Iran

TRUMP tidak mahu Netanyahu laku serangan balas. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, berkata pada Ahad bahawa beliau akan menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagi menggesanya supaya tidak bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel, lapor portal berita Axios.

“Saya akan menghubungi Bibi sekarang dan memberitahunya supaya tidak membalas,” kata Trump, menurut wartawan Axios, Barak Ravid, dalam satu temu bual telefon, menggunakan nama panggilan pemimpin Israel itu.

“Masing-masing sudah melepaskan geram. Israel sudah melancarkan serangannya dan Iran juga sudah melancarkan serangannya. Kita tidak perlukan satu lagi serangan,” kata Trump, menurut petikan yang dimuat naik Ravid di platform X.

Serangan peluru berpandu pada Ahad itu merupakan serangan pertama Iran terhadap Israel sejak gencatan senjata pada April berkuat kuasa dalam perang di Asia Barat dan Trump menyuarakan kebimbangan bahawa insiden tersebut boleh menjejaskan rundingan yang sedang berlangsung.

“Serangan Iran itu tidak mencederakan sesiapa. Diharapkan Israel tidak akan bertindak balas. Jika Bibi menyerang mereka semula, ia hanya akan berterusan seperti 47 tahun yang lalu, atau 3,000 tahun yang lalu,” kata presiden AS itu.

“Kami sangat hampir untuk mencapai perjanjian muktamad dengan Iran. Ia akan menjadi perjanjian yang baik. Saya tidak mahu ia musnah disebabkan apa yang sedang berlaku sekarang,” tambah beliau.

Pasukan elit Kor Pengawal Revolusi Iran menyifatkan serangan Ahad itu sebagai satu amaran selepas Israel menyerang pinggir selatan Beirut pada awal hari yang sama, sambil mengancam akan melancarkan serangan yang lebih meluas jika pencerobohan berulang.

Gencatan senjata yang bermula pada 8 April telah menghentikan permusuhan besar antara Iran, Israel dan AS selepas perang berlaku pada 28 Februari lalu..

Namun, usaha untuk menjadikan gencatan senjata itu sebagai penyelesaian berkekalan sering menemui jalan buntu dan pelancaran peluru berpandu pada Ahad dijangka terus menjejaskan harapan untuk mencapai keamanan yang berkekalan ketika perang itu memasuki hari ke-100.

Dalam temu bual berasingan dengan Fox News, Trump berkata, serangan Iran itu tidak membantu proses rundingan yang kini sangat hampir untuk mencapai persetujuan.

“Kami sangat hampir. Saya fikir perjanjian itu mungkin akan ditandatangani pada Isnin, Selasa atau Rabu minggu ini. Kemudian perkara ini pula berlaku,” tambahnya.

Beliau menggesa Iran supaya kembali ke meja rundingan dan mencapai satu perjanjian.

Trump turut mengkritik serangan Israel ke atas Beirut pada Ahad, dengan berkata beliau tidak gembira mengenainya.

Rumah Putih tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan AFP untuk mendapatkan komen. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN