Trump mahu serangan lebih terancang ke atas Hizbollah - Utusan Malaysia

Trump mahu serangan lebih terancang ke atas Hizbollah

DONALD TRUMP - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa agar siri serangan ketenteraan yang lebih disasarkan dilancarkan ke atas kumpulan Hizbollah di Lubnan, selain menegaskan beliau tidak meletakkan syarat untuk memasukkan konflik tersebut ke dalam pelan perjanjian damai dengan Iran.

Kenyataan itu dizahirkan oleh Trump dalam satu sesi temu bual eksklusif bersama program Meet the Press terbitan stesen televisyen NBC yang disiarkan pada Ahad.

“Saya mahu melihat serangan yang lebih terancang dan bersasar ke atas Hizbollah. Saya fikir ia sepatutnya dilakukan secara lebih klinikal. Malah, saya juga mahu melihat rakyat Lubnan menikmati kehidupan yang lebih baik (tanpa konflik),” ujar Trump merujuk kepada transkrip temu bual yang direkodkan pada Jumaat lalu.

Kenyataan Trump itu hadir susulan tindakan rejim Israel melancarkan siri serangan udara baharu di pinggir selatan Beirut yang menjadi kubu kuat kumpulan Hizbollah disokong Iran pada Ahad, atas alasan membalas serangan yang menyasarkan wilayahnya meskipun perjanjian gencatan senjata telah dimeterai sebelum ini.

Apabila ditanya sama ada beliau mendesak agar isu pergolakan di Lubnan itu dimasukkan sekali ke dalam draf perjanjian dengan Iran, Trump secara tegas menafikannya.

“Tidak, sama sekali tidak. Saya tidak mendesak perkara sedemikian. Saya fikir mereka (pihak lain) mungkin mahu melihat ia berlaku, tetapi bagi pihak saya, ia bukan satu kemestian,” jelas beliau.

Sebelum ini, Trump berulang kali menyatakan hasratnya untuk memisahkan perbincangan mengenai konflik Lubnan daripada rundingan perjanjian utama dengan Iran, manakala pihak Teheran sebaliknya mahu mengaitkan kedua-dua konflik itu dalam satu meja rundingan. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN