WASHINGTON: Pentagon dilaporkan semakin bimbang dengan tindakan Israel yang mempertingkatkan aktiviti intipan terhadap Amerika Syarikat (AS), sehingga mendorong agensi itu menaikkan status ancaman risikan balas daripada sekutu kuatnya di Asia Barat itu ke tahap tertinggi, baru-baru ini.
Menurut dua pegawai keselamatan serta seorang bekas pegawai AS, Agensi Risikan Pertahanan (DIA) Pentagon mengeluarkan penilaian ancaman baharu itu dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini di tengah-tengah ketegangan yang kian memuncak antara Washington dan Tel Aviv berhubung hala tuju konflik peperangan dengan Iran.
Sumber mendedahkan bahawa DIA telah memaparkan satu mesej dalaman rasmi yang menaikkan status ancaman intipan oleh rejim Israel kepada tahap ‘kritikal’.
Langkah drastik itu diambil berikutan kebimbangan mendalam dalam kalangan pegawai kanan Pentagon bahawa Israel sedang melakukan usaha khusus untuk mengintip pegawai-pegawai tertinggi AS, demi mendapatkan maklumat mengenai perbincangan dalaman serta proses membuat keputusan pentadbiran Presiden, Donald Trump berhubung konflik di Asia Barat.
Kertas penilaian DIA itu mengandungi dokumen setebal tujuh muka surat berserta carta yang memperincikan keupayaan Israel dalam menjalankan pengintipan berasaskan risikan manusia serta pengumpulan teknikal pada ‘tahap kritikal’.
Ia juga mengenal pasti beberapa siri insiden spesifik yang mencetuskan kebimbangan besar pihak Washington.
Bagaimanapun, jurucakap Kedutaan Israel di Washington DC tampil menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai palsu.
“Israel tidak mengumpul maklumat risikan terhadap entiti AS, apatah lagi pegawai kerajaan AS. Usaha pengumpulan risikan kami hanya ditujukan kepada musuh bukannya sekutu. Sebarang dakwaan sebaliknya adalah maklumat salah atau bermotifkan politik,” tegas jurucakap berkenaan dalam satu kenyataan.
Sementara itu, seorang pegawai Rumah Putih turut menyokong penafian itu dengan menyatakan bahawa keseluruhan laporan tersebut adalah tidak benar dan bersumberkan daripada individu yang tidak tahu tentang apa yang sebenarnya berlaku.
Pejabat Pengarah Risikan Negara (ODNI) yang menyelia semua agensi risikan AS termasuk DIA, enggan memberikan sebarang ulasan berhubung isu sensitif berkenaan.
Walaupun aktiviti saling mengintip antara negara sekutu dan musuh adalah perkara biasa dalam dunia geopolitik global, barisan pegawai AS menegaskan bahawa operasi terbaharu Israel kali ini telah melangkaui batas serta jangkaan pengintipan tipikal yang biasa dilakukan sebelum ini. – AGENSI










