BEIRUT: Hizbulah berkata pada Jumaat bahawa pejuangnya telah memusnahkan tiga kereta kebal Israel dan pertempuran masih berterusan, beberapa jam selepas media rasmi Lubnan melaporkan serangan Israel di selatan negara itu telah membunuh tiga orang.
Pertempuran itu berlaku sehari selepas Amerika Syarikat (AS) dan Iran menandatangani perjanjian untuk menamatkan perang di Asia Barat di semua medan, termasuk di Lubnan.
Hizbullah, kumpulan yang disokong Iran, berkata pada Jumaat bahawa pejuangnya menyasarkan tiga kereta kebal Merkava dengan peluru berpandu berpandu, yang menyebabkan ia musnah dan terbakar.
Insiden itu berlaku selepas tentera Israel yang terdiri daripada satu platun berperisai dan satu platun infantri cuba menyusup ke arah bahagian utara Bukit Ali al-Taher, sebuah lokasi strategik yang menghadap bandar utama Nabatieh.
“Pertempuran masih berterusan,” kata Hizbullah dalam kenyataan yang dikeluarkan pada awal pagi.
Hizbullah telah menarik Lubnan ke dalam perang Adia Barat pada Mac dengan menyerang Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran pada awal kempen ketenteraan AS-Israel.
Israel membalas dengan serangan besar-besaran di seluruh Lubnan serta melancarkan pencerobohan darat di selatan yang bersempadan dengan Israel dan lama berada di bawah pengaruh Hizbullah.
Permusuhan terus berlanjutan walaupun terdapat perjanjian AS-Iran. – AFP










