AS mahu guna aset beku Iran - Utusan Malaysia

AS mahu guna aset beku Iran

SEBUAH bangunan musnah menjadi sasaran serangan AS-Israel di Teheran sebelum rundingan damai masih belum dimktamadkan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON/TEHERAN: Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mengarahkan satu pasukan untuk menilai kos kerosakan yang dialami negara-negara sekutu Teluk akibat tindakan Iran selepas konflik dicetuskan oleh AS dan Israel memasuki hari ke 101 pada Isnin.

Aset itu juga akan digunakan oleh jabatan tersebut bagi membiayai usaha pembinaan semula dan pembaikan di negara-negara berkenaan.

Perkara itu disahkan sumber yang mengetahui pendirian Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent kepada Reuters, CNN dan CBS News. Ia  berpotensi menggagalkan tuntutan utama Iran dalam rundingan damai.

Iran menjadikan pelepasan aset beku sebagai syarat utama sebarang perjanjian, dengan seorang pegawai kanan Iran memberitahu CNN minggu ini bahawa AS$24 bilion (RM96.72 bilion) perlu dibebaskan sebelum perjanjian muktamad perdamaian dapat dicapai.

NILAI KEROSAKAN 

Rancangan Washington untuk mengalihkan aset sama bagi memberi pampasan kepada negara-negara Teluk dilihat mengubah manfaat ekonomi yang dituntut Iran daripada rundingan damai kepada kemungkinan bil pampasan perang.

Bessent mengarahkan Ja­ba­tan Perbendaharaan mendapatkan anggaran menyeluruh daripada sekutu negara-negara Teluk berhubung kerosakan yang disebabkan Iran sejak konflik bermula pada 28 Februari dan menilai sama ada aset Teheran sedia ada boleh digunakan untuk membiayai pembaikan kerosakan yang telah berlaku, kata sumber itu.

“Perbendaharaan bercadang menggunakan semua kuasa yang ada bagi memastikan aset Iran boleh diakses untuk pembinaan semula dan pembaikan berkaitan sebarang kerosakan masa depan,” tambah sumber tersebut.

Masih belum jelas aset mana akan digunakan, sama ada wang tunai Iran yang dibekukan dalam akaun bank atau aset fizikal seperti kapal tangki minyak.

Bahasa yang digunakan bagi menggambarkan langkah baharu itu juga dilihat tidak terhad hanya kepada aset beku, menurut Reuters

Iran telah melancarkan sekurang-kurangnya 6,413 peluru berpandu dan dron terhadap tujuh negara Arab sepanjang 41 hari sejak perang bermula pada akhir Februari, termasuk menyerang Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Bahrain, Qatar dan Oman secara berkala sepanjang konflik.

Pendedahan itu muncul sehari selepas penasihat ketenteraan kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, Mohsen Rezaei, memberitahu CNN bahawa keamanan bergantung kepada pelepasan aset Iran bernilai AS$24 bilion yang dibekukan.

JALAN BUNTU

“Rundingan kini menemui jalan buntu dan Trump perlu memecahkan kebuntuan itu. Langkah seterusnya kini bergantung kepada Trump,” kata Rezaei.

Beliau berkata, Iran menuntut AS$12 bilion (RM48.36 bilion) sebaik sahaja perjanjian awal ditandatangani dan tambahan jumlah sama pada peringkat seterusnya.

Rezaei turut menggambarkan tuntutan itu sebagai langkah mem­bina kepercayaan terhadap AS.

“Jika beliau mahu mencapai perjanjian dengan Iran, AS$24 bilion ini adalah ujian kepercayaan yang Iran mahu lakukan terhadap Trump. Ini ujian yang AS perlu lulus dan jalan (damai) akan terbuka. Ini wang kami sendiri, bukan wang AS,” tegasnya.

Pegawai AS menyuarakan kebimbangan pembebasan dana pada peringkat ini akan menghapuskan satu daripada pengaruh utama Washington terhadap Teheran.

Trump menuntut supaya sebarang perjanjian dilihat jauh lebih tegas berbanding perjanjian nuklear 2015 dan mahu mengelakkan sebarang situasi yang boleh ditafsirkan sebagai menyerahkan ‘longgokan wang tunai’.

Frasa itu yang digunakan beliau untuk mengkritik pampasan kewangan yang diberikan pentadbiran bekas Presiden AS, Barack Obama kepada Iran.

SKALA ASET

Aset beku Iran dalam akaun antarabangsa dianggarkan antara AS$100 bilion hingga AS$120 bilion, (RM403 bilion hingga 483 bilion) dengan kira-kira AS$2 bilion (RM8.06 bilion) daripadanya dibekukan di AS.

Pegawai Iran menganggarkan lebih AS$100 bilion aset masih tidak dapat diakses akibat sekatan, sekatan perbankan dan pertikaian undang-undang yang terkumpul selama beberapa dekad.

Perunding dilaporkan sedang membincangkan pakej bernilai kira-kira AS$12 bilion yang mungkin boleh diakses jika perjanjian awal dicapai.

Namun, tidak semua dana beku semestinya boleh diakses walaupun perjanjian dicapai kerana sebahagian aset masih terikat dengan kes mahkamah dan sekatan lain yang tidak berkaitan dengan sekatan ekonomi.

Malah, walaupun hanya sebahagian daripada dana yang dibekukan itu dapat diakses semula, ia masih boleh memberi kesan kepada pasaran mata wang Iran, import, kewangan kerajaan dan ekonomi negara secara keseluruhan, menurut penganalisis.

BINCANG

Kelmarin, Pakistan menghantar Menteri Dalam Negeri ke Teheran bagi membincangkan usaha mediasi yang sedang berlangsung antara Iran dan AS, menurut laporan agensi berita Tasnim.

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi dilaporkan mengadakan rundingan dengan pegawai kanan Iran, termasuk Menteri Luarnya, Abbas Araghchi.

Sumber berkata, Mohsin dijangka mengemukakan cadangan yang bertujuan memecahkan kebuntuan rundingan semasa serta membantu mencapai persefahaman sementara antara Iran dan AS.

Pakistan memainkan peranan sebagai orang tengah antara Teheran dan Washington sejak tercetusnya perang pada 28 Februari.

Gencatan senjata sementara dicapai pada 8 April menerusi usaha mediasi Pakistan, namun rundingan kemudian terhenti susulan pertikaian berkaitan pelaksanaan dan perkembangan serantau selepas itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN