BAITULMUQADDIS: Israel berkata pada Sabtu bahawa pihaknya telah membunuh ketua sayap bersenjata Hamas, Ezzedine Al-Haddad dalam satu serangan udara di Gaza sehari sebelumnya.
Ia turut menyifatkannya sebagai salah seorang arkitek utama serangan 7 Oktober 2023 di Israel.
Sejak serangan rentas sempadan Hamas pada tahun itu, tentera Israel dan agensi perisiknya telah menjalankan kempen menyasarkan pemimpin kanan politik dan komander kumpulan tersebut di Gaza serta seluruh rantau berkenaan.
Tentera Israel berkata pada Jumaat bahawa ia telah melancarkan serangan udara di Gaza yang menyasarkan Haddad, sebelum mengesahkan kematiannya pada Sabtu.
“IDF (Pasukan Pertahanan Israel) dan ISA (Shin Bet) mengumumkan bahawa semalam (Jumaat) dalam satu serangan tepat di kawasan Bandar Gaza, Ezzedine Al-Haddad telah dihapuskan,” kata tentera itu.
Seorang pegawai Hamas memberitahu AFP bahawa Haddad terbunuh dalam serangan Israel di sebuah bangunan kediaman.
“Komander kanan, Ezzedine Al-Haddad telah dibunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah apartmen kediaman dan sebuah kenderaan awam di Bandar Gaza semalam (Jumaat),” kata pegawai itu.
Menurut satu lagi sumber Hamas, Haddad terbunuh bersama isterinya dan seorang anak perempuannya.
Gambar AFP menunjukkan sejumlah penduduk membawa jenazah Haddad yang dibalut dengan bendera Hamas di atas pengusung keluar dari runtuhan sebuah bangunan.
Jenazah itu kemudian dibawa ke sebuah masjid, di mana ahli keluarga dan penduduk menunaikan solat sebelum membawanya melalui jalan-jalan untuk dikebumikan.
Tentera rejim Zionis berkata Haddad adalah salah seorang daripada komander kanan terakhir dalam sayap ketenteraan Hamas yang mengarahkan perancangan dan pelaksanaan pembunuhan beramai-ramai 7 Oktober 2023 di Israel.
Tambahnya, Haddad juga terlibat dalam penahanan tebusan Israel sepanjang perang itu. – AFP










