WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan tidak berpuas hati dengan cadangan terbaharu Iran untuk menamatkan perang selama dua bulan. Ini menggugat potensi penyelesaian konflik yang mengganggu bekalan tenaga global, mencetuskan inflasi dan meragut ribuan nyawa sejak AS-Israel menyerang Iran pada 28 Februari lalu.
“Beliau tidak menyukai cadangan itu (Iran),” kata seorang pegawai AS yang merujuk kepada Trump dan mengetahui tentang mesyuarat antara presiden tersebut dengan penasihatnya kelmarin seperti dilaporkan Reuters..
Cadangan terbaharu Iran itu akan mengetepikan perbincangan mengenai program nuklearnya sehingga perang dihentikan dan pertikaian berkaitan penghantaran dari Teluk diselesaikan terlebih dahulu.
Trump bertemu dengan penasihat keselamatan utamanya pada Isnin untuk membincangkan cadangan Iran selepas Teheran menyampaikan mesej bertulis kepada Washington melalui Pakistan, yang menjelaskan ‘garis merahnya’ termasuk mengenai isu nuklear dan Selat Hormuz, menurut agensi berita Iran Fars.
RUNDINGAN
Dalam pada itu, Jurucakap Rumah Putih, Olivia Wales berkata, AS tidak akan berunding melalui media. Beliau berkata demikian ketika pentadbiran Trump berusaha menamatkan perang yang dicetuskannya bersama Israel ke atas Iran pada Februari lalu.
Sementara itu, Jurucakap Kementerian Pertahanan Iran, Reza Talaei-Nik pada Selasa menyatakan, AS tidak lagi mampu ‘menentukan’ apa yang dilakukan negara lain dan menggesa Washington menerima hakikat ia mesti meninggalkan tuntutan menyalahi undang-undang serta tidak rasional.
“Amerika tidak lagi berada dalam kedudukan untuk menentukan dasar negara-negara merdeka,” katanya dipetik televisyen Iran.
Perjanjian pada 2015 antara Iran dan beberapa negara lain termasuk AS telah menyekat program nuklear Teheran yang sekian lama ditekankannya adalah untuk tujuan keamanan serta awam.
Bagaimanapun, perjanjian itu gagal selepas Trump menarik diri secara unilateral semasa penggal pertamanya di Rumah Putih.
Harapan untuk menghidupkan semula usaha damai turut semakin pudar selepas presiden AS itu membatalkan lawatan yang dirancang hujung minggu lalu ke Islamabad, Pakistan.
Pembatalan itu berlaku ketika Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dua kali berulang-alik ke ibu negara Pakistan pada hujung minggu lalu.
Araghchi turut mengadakan lawatan ke Oman dan pada Isnin ke Russia, di mana beliau bertemu Presiden Vladimir Putin serta menerima sokongan daripada sekutu lama Iran itu.
Sebelum ini, Trump mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu bermula 8 April lalu dan sepatutnya berakhir pada 22 Apri tetapi beliau melanjutkan lagi tanpa had masa.
HARGA MINYAK NAIK
Dengan kedua-dua pihak bertelagah dan masih dilihat jauh daripada mencapai kata sepakat, harga minyak kembali meningkat, melanjutkan kenaikan dalam dagangan awal Asia semalam.
“Bagi pedagang minyak, apa yang kini menjadi perhatian bukan lagi retorik politik, tetapi aliran fizikal minyak mentah melalui Selat Hormuz yang ketika ini masih terhad,” kata penganalisis pasaran di City Index, Fawad Razaqzada.
Sekurang-kurangnya enam kapal tangki yang membawa minyak dipaksa berpatah balik ke Iran oleh sekatan AS sejak beberapa hari lalu, berdasarkan data penjejakan kapal, menggariskan kesan perang terhadap lalu lintas.
Sebelum perang tercetus, antara 125 hingga 140 kapal biasanya keluar masuk Selat Hormuz setiap hari.
Namun, menurut data penjejakan kapal, Kpler dan analisis satelit SynMax, hanya tujuh kapal melalui laluan itu dalam tempoh 24 jam sebelum ini dan tiada satu pun membawa minyak untuk pasaran global.
Kementerian Luar Iran dalam hantaran di media sosial mengutuk tindakan AS merampas kapal tangki minyak yang dikaitkan dengan Iran sebagai ‘penghalalan lanun dan rompakan bersenjata di laut secara terang-terangan’.
Dalam keadaan sokongan semakin merosot, Trump kini berdepan tekanan domestik untuk menamatkan perang yang mana beliau memberikan rasional berubah-ubah kepada rakyat AS.
Araghchi memberitahu wartawan di Russia, Trump meminta rundingan kerana AS masih belum mencapai sebarang objektifnya.
Pegawai kanan Iran, yang bercakap kepada Reuters dengan syarat identiti dirahsiakan berkata, cadangan yang dibawa Araghchi ke Islamabad pada hujung minggu lalu membayangkan rundingan secara berperingkat, dengan isu nuklear diketepikan pada peringkat awal.
Langkah pertama memerlukan perang AS-Israel terhadap Iran ditamatkan dan jaminan diberikan bahawa Washington tidak akan mencetuskan semula konflik itu.
Selepas itu, perunding akan membincangkan sekatan laut oleh Tentera Laut AS terhadap perdagangan Iran dan status Selat Hormuz, yang mahu dibuka semula Teheran di bawah kawalannya.
Hanya selepas itu, rundingan akan beralih kepada isu lain termasuk pertikaian berpanjangan mengenai program nuklear Iran, dengan Teheran masih menuntut pengiktirafan daripada AS terhadap haknya untuk memperkaya uranium.










