Senat AS tolak resolusi halang jual senjata kepada Israel - Utusan Malaysia

Senat AS tolak resolusi halang jual senjata kepada Israel

SANDERS (kiri) mengemukakan resolusi menhalang jualan senjata kepada Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) menolak dua resolusi dikemukakan Senator Bernie Sanders untuk menghalang penjualan senjata berjumlah lebih AS$500 juta (RM1.9 bilion) yang dicadangkan kepada Israel.

Dalam siri undian semalam, dewan itu tidak bersetuju dengan usul yang bertujuan menghentikan pemindahan bom dan jentolak berperisai kepada pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Dengan undian 40 berbalas 59, Senat tidak meluluskan usul untuk menghalang cadangan jualan bernilai AS$295 juta (RM1.16 juta) bagi jentolak berperisai.

Beberapa senator parti Demokrat, termasuk Rich Blumenthal, Chris Coons, Catherine Cortez Masto, John Fetterman, Kirsten Gillibrand, Jacky Rosen dan Ketua Minoriti, Chuck Schumer mengundi ‘tidak’, bersama-sama parti Republikan untuk menolak usul tersebut.

Satu lagi resolusi untuk menyekat jualan bom seberat 454 kilogram (kg) bernilai AS$151.8 juta (RM600 juta) juga ditolak.

AS sudah membelanjakan lebih AS$21 bilion (RM83 bilion) bantuan ketenteraan kepada Israel sejak Oktober 2023. 

Sanders bekerjasama dengan parti Demokrat menekankan peningkatan ketara dalam penentangan, menyatakan walaupun usaha itu bermula dengan hanya 11 undi, kini 40 daripada 47 senator daripada wakil-wakil rakyat perati tersebut mengundi untuk menyekat jualan jentolak tersebut.

Sanders turut menyatakan di media sosial perubahan itu mencerminkan kehendak rakyat AS, dengan merujuk kepada satu tinjauan terbaharu yang mendapati 60 peratus rakyat negara itu termasuk 75 peratus anggota parti Demokrat dan dua pertiga pengundi bebas menentang penghantaran senjata ke Israel.

Menariknya, tiada seorang pun senator Demokrat yang mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Presiden mengundi menyokong jualan tersebut, ketika Sanders terus menggunakan satu-satunya mekanisme rasmi yang tersedia dalam Kongres untuk mencabar pemindahan itu.

Sanders mengkritik keras jualan tersebut. Beliau menyatakan jentolak berperisai itu adalah mesin yang digunakan untuk merobohkan rumah di Tebing Barat yang diduduki Israel dan Gaza serta menjadikan penubuhan negara Palestin mustahil secara fizikal.

Beliau berhujah rakyat AS tidak mahu membiayai dasar perang yang haram, mengerikan dan bersifat perluasan jajahan.

Sanders menambah, tindakan Israel di Lubnan mengakibatkan ‘perang perluasan sepenuhnya’ yang telah membunuh lebih 2,000 orang.

Walaupun gencatan senjata dicapai pada Oktober 2025, pelanggaran masih kerap berlaku dan angka kematian di Gaza melebihi 72,000 sejak konflik bermula pada 2023. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN