BEIRUT: Sekurang-kurangnya 2,387 orang terbunuh akibat serangan Israel di Lubnan sejak perang dengan kumpulan Hizbollah tercetus. enam minggu lalu, Angka terbaharu dikeluarkan oleh sebuah badan kerajaan negara itu selepas perang tercetus enam minggu lalu.
Unit pengurusan risiko bencana turut memaklumkan seramai 7,602 orang cedera dalam tempoh sama.
Sejak gencatan senjata selama 10 hari berkuat kuasa pada Jumaat lalu, pihak berkuasa dan pasukan penyelamat giat mengeluarkan mayat tertimbus di bawah runtuhan bangunan di kawasan yang sebelum ini dibedil hebat oleh Israel.
Sementara itu, Presiden Lubnan, Joseph Aoun berkata, rundingan yang dirancang dengan Israel bertujuan menamatkan permusuhan serta pendudukan di selatan Lubnan, walaupun langkah itu ditolak oleh Hizbollah dan penyokongnya.
“Lubnan kini berdepan dua pilihan, konflik berterusan atau rundingan untuk menamatkan perang dan mencapai kestabilan jangka panjang. Saya memilih rundingan dan saya menaruh harapan tinggi kita dapat menyelamatkan Lubnan,” katanya.
Kumpulan Hizbollah yang disokong Iran mengkritik hebat rundingan kerajaan Lubnan dengan Israel, yang dijangka memasuki pusingan kedua pada Khamis ini selepas rundingan langsung pertama antara kedua-dua negara dalam beberapa dekad diadakan pada 14 April lalu.
Selepas pusingan pertama minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan gencatan senjata selama 10 hari yang menghentikan sementara lebih enam minggu peperangan antara Hizbollah dan Israel, satu lagi medan utama konflik di Asia Barat.
Ahli Parlimen Hizbollah, Hassan Fadlallah berkata, adalah lebih baik bagi Lubnan kembali kepada persefahaman nasional berbanding meneruskan rundingan langsung, namun menegaskan kumpulannya juga mahu gencatan senjata diteruskan.
Namun, National News Agency (NNA) melaporkan serangan dron Israel di Qaqaiyat al-Jisr serta bedilan artileri di bandar sempadan Hula, menyebabkan enam orang cedera.
Media rasmi juga melaporkan letupan oleh tentera Israel serta operasi perobohan besar-besaran di Mais al-Jabal, sambil mengecam ‘kemusnahan sistematik’ yang menjejaskan rumah, sumber pendapatan, bangunan dan infrastruktur di kawasan sempadan.
Majlis Keselamatan PBB pada Isnin turut mengutuk pembunuhan seorang anggota pengaman Perancis di Lubnan, yang didakwa dilakukan Hizbollah. – AFP










