BEIRUT: Presiden Lubnan, Joseph Aoun pada Isnin berkata bahawa Israel gagal mematuhi perjanjian rangka kerja yang dimeterai pada Jun menerusi pengantaraan Amerika Syarikat (AS) dan terus melakukan pencerohohan setiap hari di selatan Lubnan, sambil menegaskan semula komitmen negaranya terhadap penyelesaian diplomatik.
Aoun berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil Fahmy di istana presiden di Baabda, timur Beirut, menurut kenyataan pejabat presiden Lubnan.
“Pihak Israel tidak mematuhi perjanjian rangka kerja itu dan kawasan selatan terus berdepan pencerobohan setiap hari,” kata Aoun.
Beliau menegaskan bahawa pelanggaran berterusan Israel tidak akan mencapai matlamatnya, sebaliknya mengukuhkan tekad rakyat Lubnan untuk mempertahankan tanah air dan hak mereka.
Aoun berkata, pelanggaran itu menghalang usaha kerajaan Lubnan melaksanakan matlamat yang telah ditetapkannya.
Beliau menegaskan semula komitmen Lubnan terhadap penyelesaian diplomatik walaupun berdepan pelbagai kesukaran dan berkata pendekatan itu kurang merugikan berbanding perang dahsyat yang kesannya masih ditanggung rakyat negaranya, khususnya penduduk di kawasan selatan.
“Sudah tiba masanya Lubnan menikmati keamanan,” katanya.
Presiden itu turut mengalu-alukan sebarang usaha Liga Arab untuk membantu Lubnan mengatasi keadaan sukar yang dihadapinya.
Sementara itu, Fahmy menegaskan semula sokongan Liga Arab terhadap Lubnan dan institusi-institusinya, selain menolak sebarang pencerobohan terhadap kedaulatan negara itu.
Beliau menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan negara Arab dan Barat bagi menggerakkan sokongan kepada Lubnan serta rakyatnya.
Fahmy menegaskan bahawa pendirian negara Arab terhadap Lubnan kekal bersatu dan organisasi itu sedang berusaha menterjemahkan sokongan berkenaan kepada langkah praktikal serta bantuan kewangan.
Israel melancarkan serangan terhadap Lubnan sejak 2 Mac, mengorbankan dan mencederakan ribuan orang serta menyebabkan lebih 1.5 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Pada 26 Jun, Lubnan dan Israel menandatangani perjanjian rangka kerja yang ditaja AS, yang memperuntukkan pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari wilayah Lubnan, penempatan tentera negara tersebut dan pelucutan senjata Hizbullah.
Walaupun perjanjian itu dimeterai, Israel terus melancarkan serangan di selatan Lubnan.
Tentera Israel juga masih menduduki wilayah Lubnan, termasuk kawasan dikuasainya selama beberapa dekad dan kawasan lain yang dirampas dalam peperangan serta operasi ketenteraan yang lebih terkini. – AGENSI











