TEHERAN: Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata bahawa menterinya, Abbas Araghchi telah tiba di ibu negara Pakistan, namun tidak akan ada sebarang pertemuan secara langsung dengan Amerika Syarikat (AS).
Baqaei berkata, Araghchi akan bertemu dengan pegawai kanan Pakistan.
Araghchi disambut oleh Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar, Ketua Tentera, Asim Munir dan pegawai kanan lain ketika ketibaannya.
Baqaei menulis di platform media sosial milik di platform X bahawa rundingan itu akan dijalankan selaras dengan usaha pengantaraan dan peranan baik Pakistan untuk membantu menamatkan perang pencerobohan Amerika serta memulihkan kestabilan di rantau itu.
“Tiada pertemuan dirancang antara Iran dan Amerika. Pandangan Iran akan disampaikan melalui Pakistan,” tambahnya.
Perbincangan ini berlangsung ketika Pakistan terus mempergiat usaha pengantaraan bagi meredakan ketegangan antara Iran dan AS.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, Presiden AS, Donald Trump memutuskan untuk menghantar Utusan Khas Amerika, Steve Witkoff dan Jared Kushner iaitu menantu dan bekas penasihat Trump untuk mendengar sendiri pandangan Iran.
“Kami sudah melihat sedikit kemajuan dari pihak Iran dalam beberapa hari kebelakangan ini,” katanya, walaupun tidak memberikan butiran lanjut.
Pakistan sedang mempergiat usaha untuk menghidupkan semula pusingan kedua rundingan antara Iran dan AS.
Sumber berkata, perbincangan dengan Teheran boleh membuka jalan kepada rundingan baharu selepas pusingan pertama di Islamabad pada 11–12 April.
Rundingan itu berlaku selepas Pakistan menjadi pengantara gencatan senjata dua minggu pada 8 April, yang kemudian dilanjutkan oleh Trump tanpa tempoh tertentu.
Perkembangan ini berlaku ketika ketegangan berterusan sejak perang meletus pada 28 Februari, dengan usaha tertumpu kepada mencapai perjanjian lebih luas untuk menamatkan konflik.
Sebelum ini, jurucakap Rumah Putih berkata, Witkoff dan Kushner akan pergi ke Pakistan untuk mengadakan rundingan tidak langsung dengan Iran yang diuruskan oleh pihak Pakistan sebagai pengantara utama. – AFP











