JAKARTA: Indonesia mengumumkan kenaikan 28 peratus mata bagi caj bahan api pesawat dan akan membenarkan syarikat penerbangan menaikkan harga tiket domestik yang sebelum ini dikawal kerajaan sehingga 13 peratus.
Menteri Ekonomi, Airlangga Hartarto memberitahu wartawan, caj bahan api penerbangan akan meningkat daripada 10 kepada 38 peratus, manakala harga asas tiket antara sembilan hingga 13 peratus.
Syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia Tenggara, AirAsia X, turut mengumumkan akan menaikkan harga tiket dan menurunkan jumlah laluan penerbangan bagi mengurangkan kesan perang di Iran.
Di Jakarta, Airlangga berkata, kerajaan akan menanggung cukai nilai tambah 11 peratus bagi tiket penerbangan domestik untuk mengimbangi kesan kenaikan harga terhadap penumpang.
“Jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan ialah sekitar 1.3 trilion rupiah (RM306 juta) sebulan.
“Langkah-langkah ini akan dinilai semula selepas dua bulan, bergantung sama ada perang di Asia Barat berterusan atau tidak,” katanya.
Harga minyak mentah global melonjak melebihi AS$100 (RM402) setong sejak AS dan Israel melancarkan beberapa siri serangan ke atas Iran pada 28 Februari, mencetuskan konflik serantau dan penutupan efektif Selat Hormuz.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, harga bahan api penerbangan domestik meningkat lebih 70 peratus sejak Mac, menurut laman web syarikat minyak negara Pertamina.
Bagi penerbangan antarabangsa, harga hampir meningkat dua kali ganda.
Kerajaan menegaskan Isnin tidak akan mengurangkan subsidi bagi petrol dan gas asli domestik, yang menanggung kira-kira 30 hingga 40 peratus kos untuk pengguna dan mengambil sebahagian besar daripada bajet tahunan negara paling ramai penduduk di Asia Tenggara itu.
Pengiraan subsidi bahan api 2026 di Jakarta berasaskan harga minyak global AS$70 (RM282) setong, dan kerajaan diwajibkan secara sah untuk mengekalkan defisit fiskal tidak melebihi 3.0 peratus daripada KDNK.
“Dengan penjimatan di beberapa tempat, kita boleh memastikan defisit kekal sekitar 2.9 peratus.
“Saya ingin menekankan harga bahan api bersubsidi tidak akan dinaikkan sehingga hujung tahun dan bajet kmi mencukupi,” kata Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa pada sidang media yang sama.
Airlangga juga mengumumkan kerajaan akan menghapuskan duti import bagi alat ganti pesawat untuk mengurangkan kos operasi syarikat penerbangan.
Bulan lalu, Jakarta mengumumkan rasionalisasi bahan api dan mewajibkan kerja dari rumah bagi kakitangan awam sebagai usaha untuk menjimatkan stok tenaga.
Beberapa syarikat penerbangan Asia menaikkan caj bahan api mereka, dan banyak syarikat global menaikkan tambang bagi mencerminkan peningkatan harga bahan api penerbangan.-AFP










