Hakim arah bicara sama ada Trump berhak saman kerajaan persekutuan RM39 billion - Utusan Malaysia

Hakim arah bicara sama ada Trump berhak saman kerajaan persekutuan RM39 billion

TRUMP menyaman kerajaan negaranya sendiri. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang hakim mahkamah daerah Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengarahkan satu perbicaraan diadakan bagi menentukan sama ada seorang presiden yang sedang berkhidmat boleh menyaman kerajaan persekutuan, selepas Donald Trump memfailkan kes bernilai AS$10 bilion (RM39 bilion) terhadap agensi cukai negara itu.

Trump memfailkan saman tersebut bersama dua anak lelakinya, Eric Trump dan Donald Trump Jr., serta organisasi keluarga mereka, Trump Organization, terhadap Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) pada Januari, menuntut AS$10 bilion atas dakwaan kebocoran rekod cukai yang didakwa menjejaskan perniagaan mereka.

Dalam dokumen empat halaman, Hakim Mahkamah Daerah AS, Kathleen Williams mengarahkan peguam dalam kes itu hadir pada 27 Mei untuk membincangkan isu berkenaan.

Trump menyatakan bahawa beliau memfailkan saman itu dalam kapasiti peribadi. Namun, hakim menyatakan bahawa beliau ialah presiden yang sedang berkhidmat dan pihak yang disaman ialah entiti yang keputusannya tertakluk kepada arahannya sendiri.

Dalam saman tersebut, pihak Trump mendakwa agensi kutipan cukai itu mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rekod cukai sulit mereka.

Rekod cukai Trump menjadi tumpuan besar sepanjang penggal pertamanya selepas beliau enggan mendedahkannya ketika bertanding sebagai calon presiden.

Dokumen cukai itu didakwa dibocorkan kepada media oleh Charles Littlejohn, seorang bekas pekerja IRS yang berkhidmat antara Mei 2019 hingga September 2020, menurut saman tersebut.

Littlejohn pada 2023 mengaku bersalah kerana membocorkan rekod cukai Trump dan kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.

Laporan New York Times pada September 2020 menyatakan Trump hanya membayar AS$750 (RM3,000) cukai pendapatan persekutuan pada 2016 dan 2017 dan tidak membayar cukai langsung untuk 10 daripada 15 tahun sebelumnya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN