BERLIN: Sekumpulan perompak ala geng dalam filem Ocean’s Eleven menggunakan gerudi besar untuk memasuki bilik peti besi sebuah bank di Jerman sepanjang cuti Krismas dan mencuri tunai, emas serta barang kemas bernilai 30 juta euro (RM142.28 juta), menurut pihak polis.
Jenayah licik dan mengejutkan itu berlaku di bandar barat Gelsenkirchen, North Rhine-Westphalia, menyaksikan perompak itu berjaya memecahkan lebih 3,000 peti simpanan pelanggan sebelum melarikan hasil rompakan.
Walaupun penjenayah masih bebas, ratusan pelanggan bank yang cemas berhimpun di luar cawangan pada Selasa, menuntut maklumat lanjut daripada pihak berkuasa tentang barangan mereka.
Menurut polis, perompak menembusi bilik peti besi bawah tanah bank Sparkasse dari garaj parkir. Bank memaklumkan cawangannya diceroboh semasa cuti Krismas dan lebih 95 peratus daripada 3,250 peti simpanan pelanggan dipecahkan oleh pihak tidak dikenali.
Perniagaan di Jerman ditutup sempena Krismas pada Khamis dan Jumaat minggu lalu, dan penyiasat mengesyaki kumpulan itu mungkin berada di dalam bank sepanjang cuti dan hujung minggu untuk memecahkan peti simpanan.
Rompakan itu disedari selepas penggera kebakaran diaktifkan pada awal pagi Isnin, dan pihak kecemasan menemui lubang masuk.
Saksi melaporkan melihat beberapa lelaki membawa beg besar di tangga garaj parkir dari malam Sabtu ke Ahad, kata polis.
Rakaman kamera keselamatan menunjukkan sebuah Audi RS 6 hitam meninggalkan garaj parkir pada awal pagi Isnin, dengan beberapa individu bertopeng di dalam kereta. Plat kereta itu dilaporkan dicuri lebih awal di bandar Hanover, menurut polis.
Seorang jurucakap polis memberitahu AFP rompakan itu dilaksanakan dengan cara yang sangat profesional menyerupai filem rompakan Ocean’s Eleven.
“Perlu ada banyak pengetahuan awal dan tenaga jenayah yang tinggi untuk merancang dan melaksanakan kejadian ini,” katanya.
Polis berkata, nilai insurans purata bagi setiap peti melebihi 10,000 euro (RM47,627) namun beberapa mangsa memberitahu polis kerugian mereka melebihi nilai insurans peti masing-masing.-AFP











