Aktivis hak asasi cabaran pembaharuan undang-undang Indonesia

Aktivis hak asasi cabaran pembaharuan undang-undang Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Aktivis hak asasi mencabar Kanun Keseksaan baharu Indonesia yang mengharamkan hubungan seks di luar perkahwinan serta penghinaan terhadap pegawai tertinggi negara.

Kumpulan tersebut mendakwa undang-undang itu mengancam hak asasi dan memberi kuasa luas kepada pihak berkuasa dengan pengawasan minimum.

Kerajaan meraikan pelaksanaan rangka kerja baharu itu, yang menggantikan Kanun Keseksaan peninggalan era penjajahan Belanda pada 2 Januari lalu dan menegaskan pembaharuan tersebut bukan bertujuan menyekat kebebasan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, aktivis, kebanyakannya pelajar berusaha menentang perubahan undang-undang yang meluas itu, dengan beberapa kes kini sudah dibawa ke mahkamah tertinggi negara.

“Undang-undang baharu itu menimbulkan ancaman serius terhadap hak asasi manusia.

“Kebebasan sivil semakin terancam akibat peluasan penjenayahan, manakala hak suspek dan kumpulan rentan berisiko diabaikan,” kata Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Usman Hamid kepada AFP.

Presiden ketika itu, Joko Widodo, menandatangani perubahan undang-undang tersebut tiga tahun lalu, manakala satu lagi undang-undang prosedur berasingan yang diratifikasi oleh Presiden, Prabowo Subianto bulan lalu turut berkuat kuasa pada 2 Januari.

Mahkamah Perlembagaan pada Jumaat lalu mula mendengar petisyen pertama daripada beberapa cabaran terhadap kanun baharu itu, yang menurut pihak berkuasa mengandungi perlindungan mencukupi.

Ketika ahli Parlimen meluluskannya pada 2022, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Indonesia memberi amaran beberapa peruntukan boleh melanggar kebebasan asas dan hak asasi manusia.

Bagaimanapun, kerajaan mempertahankan perubahan tersebut.

Menteri yang menyelia hal ehwal undang-undang dan hak asasi manusia, Yusril Ihza Mahendra menyifatkannya sebagai ‘detik bersejarah’ bagi Indonesia dalam menyingkirkan sistem perundangan jenayah warisan penjajahan Belanda yang berakhir kira-kira lapan dekad lalu.

Hubungan seksual di luar perkahwinan kini diklasifikasi sebagai satu jenayah dan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, sekali gus secara tidak langsung mengharamkan hubungan sejenis kerana perkahwinan sejenis tidak diiktiraf di Indonesia.

Pasangan yang tinggal bersama tanpa ikatan perkahwinan pula boleh dipenjarakan sehingga enam bulan.

Bagi meredakan kebimbangan, Menteri Undang-Undang, Supratman Andi Agtas minggu lalu menjelaskan hanya pasangan, ibu bapa atau anak kepada individu terlibat dibenarkan membuat laporan.

Peruntukan lain yang mencetuskan bantahan termasuk hukuman penjara sehingga tiga tahun bagi penghinaan atau fitnah terhadap Presiden atau Naib Presiden.

Walaupun kanun itu menyatakan hanya Presiden atau Naib Presiden sendiri boleh memfailkan aduan, aktivis berpendapat peraturan itu akan menyekat kritikan terhadap pegawai awam.

Timbalan Menteri Undang-Undang, Edward Omar Sharif Hiariej, menolak dakwaan undang-undang baharu itu bertujuan menyekat kebebasan bersuara.

“Kritikan dan penghinaan adalah dua perkara berbeza. Kritikan tidak dilarang dalam peruntukan ini,” katanya pada sidang media 5 Januari lalu.

Presiden Prabowo pula berkata, beliau ‘bersyukur’ mendengar kritikan.

“Jika saya ditegur, saya menganggapnya sebagai bantuan,” kata bekas jeneral itu pada satu acara awam selepas kanun baharu berkenaan berkuat kuasa. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×