Israel bunuh ratusan buaya, dakwa boleh dijadikan 'senjata' oleh musuh - Utusan Malaysia

Israel bunuh ratusan buaya, dakwa boleh dijadikan ‘senjata’ oleh musuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Tindakan pihak berkuasa Israel menembak mati ratusan buaya di sebuah ladang ternakan di Petza’el, Lembah Jordan, mencetuskan kecaman hebat daripada pertubuhan alam sekitar dan aktivis kebajikan haiwan.

Kerajaan Israel sebelum itu mendakwa reptilia berkenaan berpotensi dijadikan ‘senjata’ dalam serangan sabotaj oleh pihak musuh.

Pendedahan mengenai operasi pemusnahan besar-besaran yang berlangsung pada Ogos lalu itu dibuat oleh Pentadbiran Awam Israel bersama Pihak Berkuasa Alam Semula Jadi dan Taman Negara, yang mempertahankan tindakan tersebut sebagai langkah keselamatan.

Ladang berkenaan didakwa mempunyai rekod pelanggaran keselamatan termasuk beberapa insiden buaya terlepas, sekali gus menimbulkan risiko pencerobohan oleh musuh yang boleh melepaskan reptilia itu ke kawasan penempatan di Tebing Barat.

Menurut pihak berkuasa, keputusan tersebut diambil selepas penilaian mendalam mendapati keadaan ladang semakin uzur dan tidak lagi sesuai untuk penjagaan buaya. Mereka turut mendakwa kemungkinan buaya-buaya itu dilepaskan ke kawasan awam boleh mengancam keselamatan penduduk serta menyebabkan kecederaan.

Namun, tindakan drastik itu mengundang bantahan daripada kumpulan hak haiwan termasuk Let the Animals Live, Animals Now, Freedom Farm Sanctuary dan Keren Or Sanctuary.

Mereka menuduh kerajaan menyembunyikan maklumat penting serta gagal memberikan justifikasi kukuh bagi pembunuhan keseluruhan populasi buaya di ladang tersebut, sambil mendesak siasatan bebas dan penyediaan protokol jelas bagi menangani insiden serupa pada masa depan.

Dalam respons balas, pihak berkuasa menegaskan ladang berkenaan telah lama diberi amaran berhubung pelanggaran serius merangkumi pagar keselamatan rosak, pencerobohan pengunjung tanpa kebenaran serta kejadian buaya terlepas yang memaksa campur tangan pegawai kerajaan.

Walaupun menerima desakan supaya membuka siasatan, kerajaan Israel menegaskan operasi tersebut dilaksanakan di bawah permit sah serta mematuhi piawaian antarabangsa yang diguna pakai ladang buaya di seluruh dunia.

Sementara itu, Penasihat Khas Perdana Menteri Israel mengenai kebajikan haiwan, Tal Gilboa, menyokong tindakan tersebut dengan menyatakan keadaan ladang itu sendiri sudah memadai untuk dianggap sebagai penderaan haiwan.

Beberapa kumpulan hak haiwan pula mempersoalkan ketelusan laporan kerajaan yang menyebut hanya seekor buaya cedera manakala selebihnya berada dalam keadaan baik, sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai keperluan sebenar pembunuhan ratusan reptilia tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN