SEOUL: Korea Utara pada Khamis mengecam sekatan terbaru Amerika Syarikat (AS) terhadap individu dan organisasi yang didakwa terlibat dalam jenayah siber, dengan menyifatkannya sebagai bukti “sifat jahat Washington yang bersikap bermusuhan” terhadap rejim itu.
Kecaman itu timbul selepas Perbendaharaan AS mengumumkan sekatan terhadap lapan individu dan dua entiti kerana didakwa mencuci dana hasil daripada pelbagai skim haram Korea Utara.
Menurut Jabatan Perbendaharaan AS, individu terbabit adalah penggodam tajaan kerajaan yang menjalankan operasi haram bagi membiayai program senjata nuklear rejim melalui pencurian dan pencucian wang.
Pegawai AS berkata, jenayah siber Korea Utara telah mencuri lebih AS$3 bilion dalam tempoh tiga tahun, kebanyakannya dalam bentuk mata wang kripto, menggunakan teknik canggih termasuk perisian hasad dan manipulasi sosial.
Kim Un-chol, Timbalan Menteri Hal Ehwal AS di Kementerian Luar Korea Utara, mengecam tindakan itu dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Korean Central News Agency (KCNA) pada Khamis.
Beliau berkata, baru-baru ini, pentadbiran baru AS telah mengenakan sekatan eksklusif terhadap DPRK, kali kelima sejak mereka memegang jawatan,” dan menegaskan sekatan itu menunjukkan AS bersikap bermusuhan sehingga ke akhir terhadap Korea Utara.
Un-chol menambah, sekatan itu tidak akan menjejaskan dasar negara bersenjata nuklear tetapi hanya dicatat sebagai contoh kegagalan dasar AS yang tidak berubah terhadap DPRK.
Langkah terbaharu itu diumumkan selepas Presiden AS Donald Trump beberapa kali menyatakan kesediaan untuk bertemu pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, semasa lawatan Asia minggu lalu, tetapi tawaran itu tidak dijawab oleh Pyongyang.
Hubungan rundingan sebelum ini turut tergendala selepas beberapa pertemuan puncak antara kedua-dua pemimpin berakhir tanpa persetujuan mengenai senjata nuklear Korea Utara.










