Rakyat Gaza terus kelaparan, kesejukan dan maut akibat kezaliman Zionis - Utusan Malaysia

Rakyat Gaza terus kelaparan, kesejukan dan maut akibat kezaliman Zionis

SATU daripada kawasan di daerah al-Maqussi di Gaza City musnah sepenuhnya akibat bedilan udara tentera Israel sebelum ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Rakyat Palestin di Gaza terus berdepan penderitaan akibat kelaparan, kesejukan dan kehilangan nyawa meskipun gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa sejak sebulan lalu, namun kepungan ketat Israel masih berterusan tanpa tanda reda.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 236 penduduk Palestin terbunuh dan lebih 600 lagi cedera akibat serangan berterusan tentera Israel selepas pengumuman gencatan senjata. Dalam tempoh 24 jam terakhir, tiga mayat ditemukan di bawah runtuhan bangunan, manakala seorang lagi mangsa meninggal dunia akibat kecederaan lama.

Biarpun perjanjian gencatan senjata menjanjikan peningkatan bantuan kemanusiaan, bantuan makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas gagal disalurkan secara konsisten.

Israel hanya membenarkan purata 145 trak bantuan masuk setiap hari, jauh lebih rendah daripada 600 trak sehari yang dipersetujui dalam rundingan terdahulu.

Keadaan di lapangan semakin meruncing apabila penduduk, termasuk kanak-kanak dan warga emas, terpaksa mencari makanan di celah runtuhan bangunan dan berteduh di kawasan terbuka tanpa perlindungan.

Banyak keluarga kehilangan tempat tinggal, menyebabkan ribuan orang kini hidup dalam keadaan tidak terurus dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan antarabangsa yang tidak menentu.

Organisasi kemanusiaan memberi amaran krisis kebuluran kini mencapai tahap kritikal, dengan hampir setengah juta penduduk Gaza berisiko tinggi mengalami malnutrisi dan penyakit berjangkit akibat kekurangan makanan, air bersih dan rawatan perubatan.

Selain itu, infrastruktur penting seperti hospital, sekolah dan loji rawatan air masih belum dapat beroperasi sepenuhnya akibat kemusnahan besar-besaran. Ramai mangsa dilaporkan mati kesejukan selepas cuaca sejuk melanda kawasan utara Gaza yang paling teruk terjejas.

Krisis kemanusiaan ini disifatkan oleh pemerhati antarabangsa sebagai antara yang paling buruk dalam sejarah moden Palestin, dengan pertubuhan hak asasi manusia mendesak Israel menamatkan sekatan sepenuhnya dan membenarkan kemasukan bebas bantuan kemanusiaan untuk menyelamatkan nyawa ribuan penduduk yang kini berdepan kebuluran dan kesengsaraan melampau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN