WASHINGTON: Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) pada Rabu mengeluarkan imej terbaharu objek 3I/ATLAS, sekali gus mengesahkan objek antara bintang itu merupakan sebuah komet dan bukannya kapal angkasa makhluk asing.
Bercakap dalam taklimat yang disiarkan secara langsung dari Greenbelt, Maryland, Timbalan Pentadbir NASA Amit Kshatriya berkata, agensi itu komited mencari tanda-tanda kehidupan di alam semesta, namun menegaskan semua ciri objek tersebut menunjukkan ia adalah komet semula jadi.
“Objek ini ialah komet. Ia kelihatan dan bersifat seperti komet serta semua bukti mengesahkan ia sebuah komet,” katanya.
NASA memaklumkan penutupan kerajaan sementara AS sebelum ini melambatkan kemampuan agensi berkenaan untuk menjawab dakwaan awal dalam talian mengenai objek tersebut, yang melalui kawasan berhampiran Marikh bulan lalu.
Sejak itu, para saintis menggunakan lebih sedozen instrumen angkasa dan darat termasuk teleskop Hubble dan James Webb, pengorbit di sekitar Marikh, serta dua satelit Agensi Angkasa Eropah untuk mengkajinya secara terperinci.
Ketua Direktorat Misi Sains NASA, Nicola Fox berkata, agensi itu dengan pantas mengesahkan ia benar-benar menunjukkan sifat sebuah komet.
“Kami tidak menemui sebarang tanda teknologi atau apa-apa yang boleh membawa kepada andaian ia bukan komet. Melihat dunia turut sama tertanya-tanya bersama kami, ia sangat menarik,” katanya.
Pertama kali dikesan pada Julai menggunakan teleskop di Chile, 3I/ATLAS dipercayai wujud lebih awal daripada sistem suria.
Saintis NASA, Tom Statler sebelum ini menggambarkannya sebagai ‘tingkap ke masa lalu’ yang begitu jauh sehingga mendahului pembentukan Bumi dan matahari.
Komet itu kini sedang bergerak meninggalkan sistem suria. Ia dijangka membuat lintasan terdekat dengan Bumi sejauh 167 juta batu (269 juta kilometer) pada pertengahan Disember, ketika pemerhati langit berpeluang melihatnya sebelum subuh menggunakan teropong atau teleskop. – AGENSI










